Berita

UMNO Tak Banyak Alasan, Sentiasa Menyokong Usaha Untuk Rakyat – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 25 Nov – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa usaha UMNO dalam mendukung serta menyokong perkembangan rakyat khususnya ke arah kecemerlangan tidak pernah terhenti.

Ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, khidmat UMNO kepada rakyat bukan bermusim malah ia adalah langkah berpanjangan.

“UMNO tak banyak alasan, nak bantu rakyat setiap masa kerana kita adalah parti yang sememangnya berpaksikan khidmat kepada rakyat, dari rakyat, kerana rakyat dan untuk rakyat.

“Biarpun UMNO Putrajaya bergelar pembangkang di Parlimen ini namun kita tetap melaksanakan pelbagai program yang melibatkan rakyat apatah lagi bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan mereka mendapat perhatian,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Teknik Menjawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diadakan di sini, hari ini.

Ujarnya, pelaksanaan program ini adalah sebagai usaha bagi melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik yang tentunya memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

“UMNO merealisasikan hasrat untuk terus bersama rakyat, bukan sewaktu dalam kerajaan sahaja, semi-kerajaan atau ketika bergelar pembangkang sekalipun sedangkan ada pihak lain yang menggunakan pelbagai alasan sekalipun telah mendapat mandat, kononnya bukan menteri, bukan kerajaan pusat dan sebagainya.”

Menerusi program yang dianjurkan di bawah Biro Pendidikan Putrajaya, Tengku Adnan melahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus merealisasikannya.

“Inisiatif bagi memastikan anak-anak muda mendapat pembelaan dan berusaha ke arah kecemerlangan masa hadapan sentiasa dibuat dan moga anak-anak ini akan menjadi insan berjaya serta pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan,” katanya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Biro Pendidikan merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya bersama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim selain tenaga pengajar dan anak-anak yang bakal menduduki SPM.

Program tersebut dilaksana atas inisiatif membantu para pelajar yang bakal menduduki SPM dengan dibantu oleh tenaga pengajar berpengalaman. Peserta melibatkan 100 peserta terdiri daripada calon-calon SPM terpilih dari sekolah-sekolah dalam Parlimen Putrajaya yang dikumpulkan untuk diberikan tips dan teknik yang betul bagaimana hendak menghadapi peperiksaan sebenar. – UMNO Online