Berita

Isu Surau Ittifaqiyah Disuarakan Di Parlimen, Hisamudin Harap Kerajaan Madani Dapat Realisasikan Pembinaan

Putrajaya – Isu berkaitan pembinaan Surau Ittifaqiyah di Presint 8 di sini terus disuarakan dalam sidang Dewan Negara oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, semalam.

Beliau membangkitkan semula tentang isu terbabit lantaran tiada sebarang tindakan atau maklum balas berkaitan perancangan bagi menyelesaikan pembinaannya.
Putrajaya di mana saya pernah membawa isu ini pada 14 Disember 2021 dalam Dewan yang mulia ini.

“Untuk makluman, projek surau telah diluluskan sebelum PRU ke-14 lagi, acara pecah tanah dan sumbangan mock cek berjumlah RM 6.5 juta juga telah dilakukan oleh Mantan Menteri Wilayah Persekutuan pada April 2018.

“Namun pasca Barisan Nasional (BN) tewas, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menarik balik kelulusan polisi projek ini, sehinggakan MAIWP telah membuat dasar baharu bahawa mereka tidak lagi akan menanggung 100 peratus kos pembinaan mana-mana surau dan ia akan menjadi tanggungan bersama 60:40,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Negara, semalam.

Beliau memaklumkan, difahamkan oleh pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) telah turun padang melawat dan mendengar sendiri dari pihak pengurusan surau tersebut.

“Namun, apakah perkembangan terbarunya masih tidak diketahui. Untuk mencari dana sendiri sebanyak 60 peratus itu adalah amat sukar bagi kami di Putrajaya.

“Rata-rata daripada kami adalah kakitangan Kerajaan. Saya berharap Kerajaan Madani pada hari ini dapat merealisasikan pembinaan surau ini untuk kegunaan rakyat.”

Terdahulu, Hisamudin pernah membabngkitkan berkaitan isu surau tersebut dalam persidangan Dewan Negara pada 16 Disember 2021.

Dalam hal lain, beliau turut memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membina sebuah padang hoki yang bertaraf fasiliti kebangsaan untuk digunakan oleh pemain hoki sekolah dan juga profesional bagi mengadakan latihan.

“Saya mengemukakan permintaan dari pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat dengan YangDipertua PIBG Putrajaya pada 23 Julai yang lalu.

“Pihak PIBG Putrajaya ingin memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membina sebuah padang hoki yang bertaraf fasiliti kebangsaan yang boleh digunakan oleh pemain hoki sekolah dan juga profesional untuk mengadakan latihan.

“Ini adalah kerana kos untuk setiap kali latihan di luar Putrajaya sebanyak RM600, tidak termasuk kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa dan pihak sekolah setiap kali berlatih. Untuk makluman semua, saya telah berhubung dengan Presiden Persatuan Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal, mengenai hasrat dan permintaan daripada pihak PIBG Putrajaya ini. Beliau telah bersetuju dan sanggup membantu kami merealisasikan hasrat pembinaan padang hoki di Putrajaya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya