Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Raikan Calon SPM Putrajaya
PUTRAJAYA – Kebersamaan UMNO Bahagian Putrajaya meraikan anak-anak tempatan khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diserlahkan dalam Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Batch Aureus Sesi 2023/2024.
Majlis ini melibatkan calon-calon SPM dari SMK Putrajaya Presint 9 (2) yang bakal meninggalkan alam persekolahan seusai menduduki peperiksaan terbabit.
Dalam kesempatan ini, Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Senator Dewan Negara, Datuk Hisamudin Yahaya telah hadir menyantuni guru-guru dan para pelajar terlibat.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan anak-anak muda ini agar menghargai masa yang ada dan menyedari bahawa merekalah pewaris negara pada masa hadapan.
“Anak muda adalah generasi pewaris negara, maka lihatlah perspektif berbeza dalam semua lapangan agar dapat menempatkan diri dalam ruang kerja semasa yang sangat tinggi persaingannya. Peperiksaan SPM merupakan medan yang tepat bagi membuktikan keupayaan diri,” katanya.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar dan guru-guru yang telah bertungkus-lumus melaksanakan usaha memastikan anak-anak Putrajaya mendapat pendidikan terbaik.
“Saya berdoa agar segala penat lelah para guru yang mendidik pelajar ini dengan penuh cabaran termasuk mengajar secara online ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berbaloi.
“Sejajar dengan hasrat para guru dan ibu bapa, saya mendoakan semoga anak-anak ini akan meraih pencapaian yang cemerlang seiring dengan usaha mereka selama ini supaya menjadi insan yang hebat dan ternama di Malaysia suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya lagi.
Program tersebut turut dihadiri Pengetua SMK Putrajaya Presint 9(2), Puan Mazira Mohd. Zain; Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii serta Yang Dipertua PIBG, SMK Putrajaya Presint 9(2), Tuan Hj Rozaan Mat Isa. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.