Berita

Bersama Pelihara Perpaduan, Jangan Cuba Uji Tahap Kesabaran Pemimpin UMNO

PUTRAJAYA – Semenjak kebelakangan ini terdapat beberapa pemimpin politik yang telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur sentimen perkauman dan telah menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim mengingatkan agar mana-mana pihak tidak memainkan sentimen yang sensitif dan boleh menggugat keamanan serta perpaduan negara.

“Dari kenyataan pemimpin bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia, cadangan mengadakan pilihan raya PBT dan yang terbaru cadangan melantik pakar bukan Islam di dalam jawatankuasa mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini semua mengundang kemarahan orang Melayu.

“Perlu di ingatkan, mereka yang bersuara sekarang adalah parti kerajaan dan harus hentikan polemik serta kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu.”

Tegas beliau, seharusnya pemimpin-pemimpin Dap perlu lebih fokus ke arah gerak kerja bagaimana utk membantu rakyat yang sedang dihimpit dengan masalah kos sarà hidup yang tinggi.

“Pemimpin Dap harus bersama dengan pemimpin kerajaan yang lain sewajarnya memberikan cadangan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara dan cadangan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Inilah yang rakyat mahukan, bukan kenyataan-kenyataan yang tidak berfaedah dan akan menimbulkan kemarahan orang Melayu.”

Justeru beliau menyeru semua pihak untuk terus memelihara perpaduan dan berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan menyentuh sensitiviti orang Melayu dan jangan cuba cabar tahap kesabaran pemimpin-pemimpin UMNO. – UMNOPutrajaya