Berita

BN Hormati Keputusan Lembaga Pengampunan, Dukung Segala Langkah Selaras Lunas Undang-undang

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang telah membincangkan dan bersetuju beberapa perkara penting berkait rapat perkembangan semasa negara.

Mesyuarat terbabit telah dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat BN, Menara Dato On di sini, malam ini.

Pada masa sama, Dr Zambry, Dewan Tertinggi BN mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa yang sama, BN juga merafak sembah tahniah atas pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“BN dengan takzimnya merafak sembah tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII. Semoga pemerintahan Ke Bawah Duli Tuanku akan membawa Malaysia ke arah lebih makmur dan sejahtera.

“BNl turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.”

Dalam kenyatan yang sama, Dr Zambry turut memaklumkan pembentukan sebuah jawatankuasa sempena ulang tahun ke-50 BN.

“Sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN yang ke-50, Dewan Tertinggi BN bersetuju sebuah Jawatankuasa Khas dibentuk menyelaras semua program-program Sempena Ulang Tahun Ke-50 BN yang bakal disambut pada bulan Jun 2024.”

Turut dipersetujui dalam mesyuarat terbabit ialah lantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A):

Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional Negeri Terengganu – Dato’ Haji Rozi bin Mamat
Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional Negeri Johor – Dato’ Onn Hafiz Ghazi – UMNO Online