Berita

MKT UMNO: Isu Sensitif Sentuh Kesucian Islam

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 22 Mac 2024 bersamaan 12 Ramadan 1445H telah mengadakan perbincangan dan membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

1. UMNO amat prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam, polemik perkauman dan mampu mencetuskan suasana ketidak-harmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

2. Isu-Isu seperti gugatan kepada aqidah Islam dalam Filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik memudaratkan.

3. Sehubungan dengan itu, UMNO berpendirian tegas dan teguh dengan Titah DYMM Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan Raja, Kaum dan Agama (3R).

4. Malah, UMNO turut mendokong penuh Titah DYMM Yang di-Pertua Agong yang mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati curang dan terlibat dalam sebarang usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

5. Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

6. Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali.

DR ASYRAF WAJDI BIN DUSUKI
22 MAC 2024