Berita

Santuni Anak-anak Putrajaya, Pastikan Tetap Ceria Laksana Persiapan Menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 29 Mac – Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal dirai tidak lama lagi, anak-anak yang kurang berkemampuan tetap menjadi keutamaan dengan memastikan persediaan bagi kelengkapan perayaan dibuat sebaiknya.

Dalam hal ini Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya telah mengiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memenuhi undangan dari Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada murid-murid B40 untuk sekolah-sekolah rendah di Putrajaya.

Katanya yang juga pengerusi biro terbabit, langkah turun padang memastikan persediaan untuk anak-anak yang kurang berkemampuan adalah antara rutin tahunan bagi UMNO Putrajaya apabila menjelangnya hari raya.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, YB Fadhlina kerana sudi menerima undangan dan bersama-sama meraikan anak-anak di sini yang tentunya memberi makna sangat besar kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online selepas program tersebut, semalam.

Maklumnya, seramai 160 orang murid dari 16 buah sekolah di sekitar Putrajaya telah dipilih dan ditaja bagi membeli barangan kelengkapan persediaan hari raya nanti.

“Ini adalah usaha berterusan yang UMNO lakukan iaitu bersama-sama semua peringkat usia, mengenalpasti permasalahan dan menyelami kerumitan lantas kita cuba memberikan bantuan sebaik mungkin dengan melibatkan pelbagai pihak untuk turut serta menceriakan anak-anak ini.”

Katanya, menerusi program ini Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya telah menerima amanah dari Yayasan Pelajaran Mara, Malaysian Football League (MFL) dan AEON Big untuk mengendalikan bantuan hari raya agar dikongsi dengan anak-anak yang kurang berkemampuan.

“Matlamat kami ialah melihat memberikan senyuman pada wajah anak-anak ini dan semoga sumbangan ini membawa kenangan manis buat mereka kerana berpeluang membeli belah bersama Menteri Pendidikan.

“Lebih bermakna, semoga sumbangan kecil ini juga dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut termasuk anggota jawatankuasa Biro Pendidikan Putrajaya.

Majlis ini turut dihadiri Pengarah Urusan AEON Big Malaysia, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Faisalludin Mohamat Yusuff dan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dalizwa Deena Salihin. – UMNO Online