Berita

Wanita UMNO Putrajaya Teruskan Acara Tradisi Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana

PUTRAJAYA, 1 April – Wanita UMNO Bahagian Putrajaya telah menganjurkan Program Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana yang diadakan di Masjid Putra, di sini, semalam.

Ketuanya, Husna Abdul Rahaman memaklumkan bahawa program tersebut merupakan acara tahunan yang dilaksana untuk mengimarahkan bulan Ramadan.

“Program ini merupakan acara tahunan bagi UMNO Putrajaya. Kita laksanakan bukan sahaja untuk mengambil keberkatan bulan Ramadan dan meningkatkan ibadah kepada Allah SWT tetapi juga mewujudkan kebersamaan dalam kalangan UMNO bersama masyarakat.

“Penganjuran program yang diadakan ini antara lain bertujuan membudayakan amalan bertadarus di samping mendekatkan diri dengan al-Quran dan yang penting menjadilkan bacaan al-Quran sebagai amalan,” katanya kepada UMNO Online.

Maklum beliau, seramai hampir 500 orang wanita termasuk NGO-NGO wanita di Putrajaya dan juga komuniti wanita setempat telah terlibat menjayakan acara tersebut dengan turut disertai oleh isteri Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Katanya, Wanita UMNO Putrajaya sentiasa mengaplikasi pelbagai ruang dan peluang dengan memanfaatkannya bersama-sama masyarakat.

“Program ini adalah antara ruang yang kita manfaatkan secara holistik kerana kita bukan berpolitik tetapi kita melaksanakan acara yang menjadi satu keperluan kepada para penduduk setempat sebagaimana bertadarus beramai-ramai dalam suasana penuh kekeluargaan, semangat kekitaan dan menyemai ketulusan di samping mempererat silaturrahim.

“UMNO tak banyak alasan dalam melaksanakan apa-apa program dan acara tradisi yang sememangnya dekat dengan rakyat tetap kita teruskan kerana kita bukanlah bekerja ikut musim atau ada hanya apabila ada keperluan tertentu.”

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus bersama-sama merealisasikan program tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua wanita-wanita dari pelbagai peringkat dan lapisan usia yang terlibat dalam menyemarakkan program yang kita adakan pada bulan Ramadan.

“Semoga kita semua mendapat keberkatan dan kekal dalam istiqamah beribadah dengan meneruskan tekad perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. Program Tadarus Al-Quran Perdana ini dimulakan seawal jam 8.00 pagi yang diakhiri majlis khatam Al-Quran dan ditutup dengan alunan selawat.- UMNO Online