Rencana

Soalan Lazim Berkaitan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023

1. Apakah tujuan penggubalan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara 2023?
Jawapan:
• RUU ini digubal oleh Kerajaan MADANI untuk melindungi kekebalan negara dengan mengkanunkan undang-undang adat antarabangsa (customary international law), menambah baik prosedur dan amalan sedia ada dan amalan terbaik antarabangsa.

• RUU ini juga memperuntukkan secara jelas, konsep layanan salingan (reciprocity) yang akan diamalkan, hal ini demikian kerana apa-apa kekebalan yang diberikan kepada suatu Negara asing boleh ditarik balik sekiranya tidak dibalas oleh Negara asing tersebut.

• RUU ini memperuntukkan kekebalan Negara asing dan hartanya, ketua Negara atau ketua Kerajaan Negara asing daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

• Dengan adanya undang-undang kekebalan negara asing di Malaysia diharapkan bahawa negaranegara asing akan turut memberikan layanan salingan (reciprocal treatment) dalam menjamin kekebalan kedaulatan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara-negara asing tersebut.

2. Bagaimana RUU ini dapat mengelak tuntutan pihak lain seperti tuntutan pihak yang mendakwa Waris Kesultanan Sulu, pada masa hadapan?
Jawapan:
• Pihak-pihak luar boleh memfailkan tuntutan mereka kerana tiada undang-undang yang menghalang mereka untuk berbuat demikian.
• Namun, di peringkat Mahkamah di mana suatu tuntutan difailkan, RUU ini boleh digunakan untuk menegaskan kedudukan Malaysia mengenai kekebalan negara asing.
• RUU ini juga memperuntukkan elemen layanan salingan (reciprocity) yang boleh digunakan untuk menarik balik apa-apa kekebalan, sama ada semua atau mana-mana kekebalan yang berkaitan, sepertimana yang diperuntukkan dalam fasal 30 RUU, sekiranya mahkamah bidang kuasa lain tidak melayan permohonan kekebalan di hadapannya.

• Sebagai rujukan, beberapa negara yang telah mengkanunkan akta serupa adalah seperti berikut:
o United Kingdom memperuntukkan kekebalan negara asing melalui State Immunity Act 1978;
o Singapura pula memperuntukkan kekebalan negara asing melalui State Immunity Act 1979 yang mirip dengan perundangan kekebalan di UK;
o Kanada juga memperuntukkan kekebalan negara asing melalui State Immunity Act 1985

• Secara amnya, perundangan di negara tersebut mengamalkan prinsip doktrin restrictive immunity dengan memperuntukkan beberapa had kekebalan utama negara.
• Ini bermaksud RUU ini mengguna pakai pendekatan yang sama seperti yang diguna pakai dalam undang-undang kekebalan negara-negara tersebut selain mengambil kira perkembangan undangundang adat antarabangsa termasuklah United Nations Convention on Jurisdictional Immunities of States and their Property 2004.

3. Apakah undang-undang kekebalan Malaysia sedia ada tanpa RUU ini?
Jawapan:
• Sebelum penggubalan RUU ini, Malaysia mengamalkan prinsip undang-undang adat antarabangsa (customary international law).

• Sebelum ini, Malaysia menggunakan doktrin absolute immunity apabila suatu Negara asing mempunyai kekebalan mutlak daripada bidang kuasa mahkamah di Malaysia seperti yang telah diputuskan dalam kes Mighell v Sultan Johor [1894] 1 Q.B.
• Walau bagaimanapun, berdasarkan kes Commonwealth of Australia v Midford (Malaysia) Sdn Bhd [1990] 1 MLJ 475, Malaysia telah mula menggunakan doktrin restrictive immunity.
• Restrictive immunity merupakan kekebalan terhad yang diberikan kepada aktiviti dan tindakan sesebuah Kerajaan yang berdaulat (sovereign activities and governmental acts) dan tidak termasuk tindakan yang bersifat komersial (acts of a commercial nature).
• Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf prinsip kekebalan negara terhadap Negara asing. Beberapa kes Mahkamah Malaysia telah mengiktiraf prinsip kekebalan negara asing berdasarkan customary international law seperti:
o Hii Yii Ann v Deputy Commissioner of Taxation of the Commonwealth of Australia and Ors. [2018] 7 MLJ 393; dan
o Government of Malaysia v Nurhima Kiram Fornan and Ors. [2020] MLJU 425.

4. Apakah kekebalan yang diberikan kepada sesebuah Negara asing di bawah RUU ini, dan adakah Negara Asing mempunyai kekebalan mutlak (absolute immunity) dalam semua perkara?
Jawapan:
• RUU ini memberikan kekebalan kepada Negara asing dan harta Negara asing, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan daripada bidang kuasa Mahkamah di Malaysia dan tiada prosiding sivil boleh diambil terhadap mana-mana Negara asing itu.

• Sebagaimana yang diperuntukkan dalam Bab III, Bahagian II RUU, Negara asing tidak mempunyai kekebalan secara mutlak berdasarkan prinsip “restrictive immunity” dan bukan “absolute immunity” kerana ia tertakluk kepada had kekebalan seperti yang berikut:
(a) prosiding yang timbul daripada transaksi komersial;
(b) prosiding yang berhubungan dengan kontrak kerja;
(c)prosiding yang berhubungan dengan tuntutan kecederaan diri, dsb.;
(d) prosiding yang berhubungan dengan penentuan hak, dsb., terhadap harta;
(e) prosiding yang berhubungan dengan harta intelek, dsb.;
(f) prosiding yang berhubungan dengan penyertaan dalam syarikat, dsb.;
(g) prosiding yang berhubungan dengan kapal yang dimiliki atau dikendalikan oleh Negara asing;
(h) prosiding yang berhubungan dengan mendapatkan balik cukai; dan
(i) perjanjian mengenai timbang tara

5. Apakah takrif “negara asing” dalam RUU ini?
Jawapan:
• Berdasarkan fasal 4 RUU, “Negara Asing” ertinya mana-mana negara atau wilayah di luar Malaysia, dan termasuklah—
(a) suatu jabatan atau pelbagai organ kerajaan sesuatu Negara asing;
(b) suatu unit keanggotaan persekutuan Negara asing atau subbahagian politik Negara asing itu; dan
(c) agensi, badan atau entiti lain sesuatu Negara asing yang ditubuhkan di bawah suatu undangundang.

• Takrifan ini adalah selaras dengan United Nations Convention on Jurisdictional Immunities of States and Their Property 2004 dan juga undang-undang kekebalan negara asing di negara-negara lain, dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan konteks Malaysia, termasuklah—
(a) State Immunity Act 1979 di Singapura;
(b) State Immunity Act 1985 di Kanada;
(c) State Immunity Act 1978 di United Kingdom;
(d) Foreign State Immunities Act 1985 di Australia; dan
(e) Foreign State Immunity Act 2024 di China.

• Definisi “Negara Asing” adalah berdasarkan international customary law yang menghendaki Negara itu memenuhi kriteria yang berikut:
(a) permanent population;
(b) a defined territory;
(c) a government; dan
(d) capacity to conduct international relations

6. Apakah kedudukan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja sesuatu Negeri akan terkesan melalui penggubalan RUU ini?
Jawapan:
• Menurut Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tidak terjejas dan tiada apa-apa jua prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja suatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV Perlembagaan Persekutuan.

• Justeru, RUU ini hanya bertujuan untuk memberi kekebalan kepada Negara asing terhadap prosiding sivil di mahkamah Malaysia, tertakluk kepada sekatan kekebalan yang diperuntukkan di bawah RUU ini.

• Dalam hal kedudukan YDPA, RUU ini tidak menjejaskan kekebalan YDPA berhubung prosiding di mana-mana mahkamah di Malaysia selain Mahkamah Khas menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan memandangkan RUU ini hanya terpakai kepada Ketua Negara sesebuah Negara asing.

• Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip layanan salingan (reciprocal treatment) yang mungkin diperuntukkan dalam undang-undang kekebalan negara sesebuah Negara asing, layanan yang sama adalah dihasratkan untuk diberikan kepada Malaysia (termasuklah YDPA) oleh Negara asing tersebut.

• Namun, kekebalan YDPA masih tertakluk kepada pertimbangan sesebuah Negara asing tersebut.

7. Apakah terdapat badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengawal selia hal perkara berhubung dengan kekebalan Negara asing?
Jawapan:
• Menurut Fasal 20 RUU, suatu Majlis Kekebalan Negara Asing akan ditubuhkan untuk mengawal selia hal perkara berhubung dengan kekebalan Negara asing bagi memastikan perkara-perkara sepenting kekebalan negara diputuskan oleh suatu Majlis secara kolektif.

• Fungsi Majlis Kekebalan Negara Asing diperuntukkan dalam Fasal 21 RUU yang antara lainnya berfungsi untuk menimbang teliti dan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan kekebalan Negara asing (foreign State immunity), mengeluarkan dasar, garis panduan dan surat arahan kepada agensi Kerajaan, memantau pelaksanaan dasar, garis panduan serta arahan yang dilaksanakan oleh agensi Kerajaan dan melakukan perkara-perkara lain yang timbul atau berbangkit daripada pelaksanaan RUU ini.

• Kuasa Majlis Kekebalan Negara Asing pula diperuntukkan dalam Fasal 22 RUU yang memperuntukkan bahawa Majlis Kekebalan Negara Asing mempunyai kuasa untuk memperakui secara bertulis berkenaan dengan status Negara asing atau seseorang ialah suatu Negara asing, seorang Ketua Negara atau seorang Ketua Kerajaan, memperakui secara bertulis apa-apa perkara yang berkaitan dengan kekebalan Negara asing, mengawal dan menyelaras agensi Kerajaan berkenaan dengan proses penyampaian kertas kausa atau dokumen lain yang berbangkit daripada prosiding mahkamah, dan melantik apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu dan suai manfaat oleh Majlis.

8. Adakah benar bahawa kuasa mutlak atau kuasa yang sangat luas akan diberikan kepada perdana menteri dalam RUU ini?
Jawapan:
• Sebagaimana dalam fasal 5 RUU, kekebalan daripada bidang kuasa Mahkamah diberikan kepada ketua Negara, ketua Kerajaan dan Negara asing atas kapasiti rasminya.

• Namun, merujuk fasal 30, 32 dan 33, kuasa Perdana Menteri adalah terhad untuk menarik balik, mengecualikan dan membuat peraturan-peraturan berkaitan dengan kekebalan yang diberikan kepada Negara asing sahaja, tanpa menyentuh apa-apa kekebalan berhubung dengan ketua Kerajaan atau ketua Negara.

• Penarikan balik kekebalan yang telah diberikan kepada sesuatu Negara asing merupakan satu tindak balas berbangkit (consequential reactive action) sekiranya Malaysia tidak diberikan kekebalan yang setanding dengan kekebalan yang diberikan kepada Negara asing tersebut.

• Justeru, Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Kekebalan Negara Asing yang dianggotai oleh 12 ahli-ahli anggota Majlis yang lain telah diberikan mandat dari segi undang-undang untuk mempertimbangkan dan memutuskan secara kolektif mengenai perkara ini yang bersifat teknikal dan operasi yang lebih sesuai dijalankan oleh pihak eksekutif. Oleh itu, ia bukan suatu keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri secara bersendirian.

• Sebagai perbandingan, di United Kingdom, kekebalan Ketua Negara (Head of State) diperuntukkan di bawah seksyen 14 dan 20 State Immunity Act 1978 (“SIA 1978”). Seksyen 21 SIA 1978 juga memperuntukkan bahawa sijil hanya diberikan oleh Setiausaha Negara, yang setaraf dengan Ketua Setiausaha Negara kita, menjadi bukti yang tidak boleh dipertikaikan, antara lain, sama ada orang itu dianggap sebagai Ketua Negara.

• Adalah juga diperhatikan bahawa berdasarkan seksyen 8 Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 [Akta 485], penarikan balik keistimewaan dan kekebalan daripada wakil (member of official staffs of the representatives) hanya dibuat oleh Menteri Luar Negeri.

• Buat masa ini, amalan semasa ialah perakuan negara berdaulat dikeluarkan secara pentadbiran oleh Kementerian Luar Negeri. Perkara ini telah juga dibincangkan dalam kes LFL Sdn Bhd v. Kerajaan Malaysia & another [2022] 3 CLJ 634 di mana sijil yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia pada 16 April 2020 dianggap sebagai bukti muktamad mengenai kekebalan Singapura sebagai Negara Berdaulat.

• RUU ini juga tidak boleh disamakan dengan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776], yang antara lain memperuntukkan kuasa kepada DYMM YDPA di bawah seksyen 18 bagi perisytiharan kawasan keselamatan dan menyekat hak-hak asasi rakyat yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hal ini demikian kerana Akta 776 memperuntukkan tentang hal perkara keselamatan dan kedaulatan negara sepertimana dalam perenggan 4(a) yang memperincikan fungsi Majlis Keselamatan Negara, berbanding dengan RUU ini yang memperuntukkan hanya tentang kekebalan bidang kuasa Negara asing yang melibatkan perkara pentadbiran dan operasi.

• Kedua-dua undang-undang digubal bagi maksud yang berbeza dan tidak boleh dilayan secara setara. Justeru, kuasa-kuasa Perdana Menteri yang diperuntukkan dalam fasal-fasal 30, 32 dan 33 adalah satu perkara operasi dan pentadbiran yang telah ditambah baik berdasarkan amalan sedia ada, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Oleh itu, kegusaran mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri tidak berbangkit sama sekali.