Berita

UMNO 78 Tahun: Teruskan Perjuangan Demi Agama, Bangsa, Tanah Air – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ini ulang tahun kelahiran UMNO yang ke 78 selepas tertubuhnya parti yang berpaksikan semangat nasionalisme tersebut.

Sehubungan itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua bangsa Melayu khususnya ahli-ahli UMNO untuk kembali menghayati asas dan tujuan penubuhan parti lantas memperteguh perjuangannya.

Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, usia UMNO sememangnya cukup matang dan telah melalui lebih tujuh dasawarsa yang membawa bangsa melalui pelbagai kisah dari sebelum merdeka hinggalah ke hari ini.

“Susurlah kembali sejarah lampau yang membawa kepada tertubuhnya UMNO 78 tahun yang lalu. Asbab penubuhan UMNO adalah kerana semangat bersatu untuk kedaulatan agama, bangsa dan tanah air, menolak penjajah dan memerdekakan negara.

“Dari dulu memang UMNO telah melalui pelbagai cabaran, kepimpinannya menjalani laluan hidup yang sukar, ditekan, dihimpit dan macam-macam dihamburkan selain caci maki dan hinaan dilemparkan serta dipalit fitnah.

“Namun atas paksi pada perjuangan dan enggan khianat pada agama, bangsa dan negara maka setiap kesusahan dan kepayahan dilalui kerana keyakinan hanya pada Allah SWT. UMNO berjaya melalui pelbagai krisis dan hari ini kita juga berdepan ujian, maka moga kita cekal dan terus berjuang dalam parti keramat ini,” katanya kepada UMNO Online.

Tengku Adnan yang telah bersama-sama parti lebih 40 tahun telah melalui pelbagai cabaran termasuk dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang tidak berasas namun katanya pegangan kepada teras perjuangan UMNO adalah yang utama.

“Hari ini marilah kita jadikan iktibar kerana apa-apa sahaja kesulitan sama ada tuduhan dan pendakwaan bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan sebaliknya ia adalah permulaan bagi menyemarakkan kembali apa yang telah pemimpin dahulu lakukan.

“Cantiknya UMNO, ada organisasi, berinstitusi dan mempunyai Perlembagaan yang jelas. Kesatuan dalam kalangan ahli-ahli UMNO juga amat murni apabila keputusan dilakukan secara perbincangan. UMNO bukan parti sembarangan, mempunyai aturan dan peraturan, sebagaimana ditubuhkan atas hasrat demi agama, bangsa dan negara maka kemurnian cita-cita adalah manifestasi relevannya parti ini sehingga kini.

“Fahamilah bersama bahawa UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan. Justeru marilah kita sama-sama mengambil semangat atas keberadaan usia 78 tahun UMNO sebagai penguat sokongan bagi memperteguh kembali perjuangan untuk ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.