Berita

UMNO Perlu Tampil Idea Segar, Bernas… Cipta Naratif Positif Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua barisan kepimpinan dari pelbagai peringkat terkehadapan dalam menampilkan idea segar dan bernas untuk bangkit kembali.

Begitu juga kata Timbalan Perdana Menteri itu, semua perlu mengorak langkah yang sesuai dengan anjakan politik semasa yang begitu deras perubahannya.

“Kini masanya kalangan pimpinan di semua peringkat baik Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Negeri, Bahagian mahupun Cawangan perlu membuktikan kepada generasi sekarang ini cara kempen dan pendekatan yang sesuai di peringkat masing-masing untuk mengangkat semula citra parti.

“Hanya di peringkat Negeri dan Bahagian yang tahu mengikut acuan sendiri. Pemimpin UMNO yang telah dipilih akar umbi ini perlu tampil ke hadapan, bukan sekadar memberi idea dan apa yang penting melaksanakan sesuatu yang di luar kebiasaan,” katanya ketika memberi Amanat Presiden sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid berserta barisan kepimpinan, ahli dan pendukung parti menunaikan solat Fardhu Maghrib dan solat sunat Hajat berjemaah serta disusuli dengan bacaan Yasin.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Bendahari Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua sayap pergerakan.

Selain majlis di ibu negara yang disiarkan di saluran Facebook dan Youtube UMNO Online, turut diadakan di seluruh Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Selanjutnya, Ahmad Zahid juga berkata pemimpin UMNO perlu mengubah pendekatan dengan mencipta sentimen menerajui naratif positif ke atas pemikiran rakyat.

“Kita mesti memahami permainan dengan emosi dan perasaan, kita harus guna cara halus dan lunak yang mengusik jiwa. Gunakan cara ini untuk mendapat sokongan kuat dalam kalangan rakyat.

“Gunakan perkembangan Artificial Intelligent (AI) yang merupakan cabaran baharu yang akan menjadi ledakan dalam membentuk fikrah atau pemikiran rakyat. Sebab itu saya tegaskan pimpinan UMNO perlu terkehadapan dalam usaha melonjakkan semula citra parti dalam upaya untuk kita mendominankan semula parti keramat ini,” katanya sambil menggesa semua pihak perlu agresif mengekang segala fitnah dahsyat di media sosial.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru semua barisan kepimpinan memanfaatkan kemajuan pelbagai platform media sosial sepertimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy yang aktif dan sangat popular di TikTok.

“Saya mahu lebih ramai pemimpin UMNO, bermula dari peringkat MKT sehingga ke Bahagian, ADUN dan Ahli Parlimen, Cawangan mula teroka ‘dunia baharu’ dan tidak lagi berada di takuk dan cara yang lama.

“Jadikan kelemahan menempuhi pilihan raya lalu, untuk kita mencorak kemenangan di masa hadapan. Jangan berasa selesa, hanya kita sebahagian daripada kerajaan. Ini masanya untuk pemimpin jadi barisan hadapan bagi menjadi ‘pembuluh darah’ demi kelangsungan anak watan,” gesanya. – UMNO ONLINE