Ingat Jasa UMNO, Hayati Perjuangannya Demi Terus Bersatu Bersetia Berkhidmat – Tengku Adnan
PUTRAJAYA, 25 Mei – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memohon kepada seluruh akar umbi UMNO agar terus bersatu, bersetia dan berkhidmat untuk parti demi masa hadapan yang lebih baik dan terbela.
Ini kerana katanya, kredibiliti kepimpinan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terserlah dan sanggup mempertahankan parti walaupun bermacam-macam dakwaan diberikan kepada beliau.
“Saya rayu tolonglah bangsaku, kalau nak pastikan bangsa ini disegani lagi marilah kita sama-sama bersatu, bersetia dan berkhidmat, itu yang patut dilakukan.
“Ini macam-macam boleh berlaku tetapi kepimpinan UMNO tetap teguh demi parti ini, sebagai contoh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mempunyai kuasa dan beliau sanggup mentadbir sebuah parti selepas kita tewas pada 2018.
“Saya pun kena (dakwa) dan dibawa ke mahkamah malah dikenakan pelbagai tekanan pada hal tidak ada kena mengena. Saya ditekan kerana saya salah seorang yang bantu UMNO, malah Presiden UMNO ditekan sebanyak 84 kes, semuanya ditekan kerana mereka nak pastikan UMNO tidak boleh bergerak.”
Beliau juga berpesan agar semua pihak dapat renungkan kembali berdasarkan keupayaan dan kejayaan masing-masing.
“Ingatlah jasa UMNO, kalau hari ini kamu ada ijazah, diploma, kamu ada jawatan, cuba kamu renungkan dimana bangsa kita dulu dan siapa yang menjadikan kita berjaya hari ini, insya-Allah kamu akan jadi manusia yang taat, bersyukur pada apa yang ada,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian ketika berucap sempena Program Jelajah Penerangan UMNO di Pusat Kejiranan Presint 9, Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob serta kepimpinan UMNO bahagian Putrajaya.
Tengku Adnan berkata akar umbi UMNO harus percaya dengan kepimpinan parti kerana kepimpinan ini yang akan membawa parti ke arah yang terbaik.
“Kita percaya dengan kepimpinan, kita percaya dengan kepimpinan Presiden UMNO untuk membawa dan menerajui bahtera parti ini ke jalan yang terbaik untuk semua.
“Apa yang dibawa oleh Presiden parti adalah untuk membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. ‘Nothing is secret’ dan tahu apa yang berlaku,” jelasnya lagi
Untuk rekod, program jelajah tersebut membuka tirainya di UMNO Bahagian Jerantut pada 18 Mei lalu disusuli Bahagian Tapah pada 22 Mei, dan Tampin 24 Mei.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO.
Majlis pelancaran tersebut juga telah dihadiri oleh Azalina bersama dengan kepimpinan bahagian-bahagian yang terlibat. – UMNO Online