Berita

Awie Calon Terbaik Untuk Nenggiri, Sedia Khidmat Demi Rakyat – Tengku Muhammed Hafiz

GUA MUSANG, 8 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah calon terbaik bagi menjadi suara rakyat.

Demikian tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan yang berpandangan bahawa tidak ada alasan untuk para pengundi tempatan menolak Azmawi Fikri yang lebih dikenali sebagai Awie.

“Jika dinilai latar belakangnya, keperibadian dan keupayaan untuk bekerja, beliau mempunyai kekuatan dan pakej lengkap bagi menjadi wakil rakyat kepada masyarakat Nenggiri.

“Bukan baru bekerja apabila nak ada PRK baru turun padang sebaliknya Awie dah lama berkhidmat kepada penduduk di sini,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Tengku Muhammed Hafiz yang juga Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, sepanjang beliau berkampung di Nenggiri bersama-sama jentera Pemuda UMNO dalam berkempen dapat dirasai bahawa penerimaan penduduk kepada Awie amat tinggi.

“Rata-rata masyarakat di sini sudah mengenali Awie yang menandakan beliau adalah anak tempatan yang sememangnya mesra dan telah melaksanakan pelbagai usaha kepada masyarakat setempat.

“Walaupun dari segi penerimaan calon nampak mudah namun kita tidak pernah ambil sikap sambil lewa sebaliknya kita sebagai jentera parti tetap meneruskan usaha gerak kerja meraih sokongan dilaksana berterusan hinggalah ke saat-saat akhir kempen nanti.

“Paling penting adalah tarikh pengundian 17 Ogos kerana kita mahukan keseluruhan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan memilih calon yang tepat iaitu Awie bagi mewakil mereka mendapatkan pembangunan dan kemajuan pada masa hadapan.”

Dalam masa yang sama, beliau juga berharap agar BN dapat merampas kembali DUN Nenggiri dengan bantuan jentera-jentera parti dari pelbagai peringkat melibatkan seluruh tanah air.

“Walaupun kita yakin dengan kekuatan calon kita, namun kita terus berhati-hati kerana kita akui pihak lawan sering melakukan pelbagai strategi dan taktik yang tidak dijangka terutama pada saat-saat akhir ketika menjelang hari mengundi.

“Kita perlu sentiasa bersedia dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan yang meyakinkan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos lalu manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online