Aplikasi PAU 2024 Untuk Perkasakan Parti, Pastikan Momentum Kemenangan Berterusan
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Naib Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Husna Abdul Rahaman mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan parti yang bakal berkumpul sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, yang bermula hari ini.
Ujarnya, perhimpunan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh anggota parti dalam mengekalkan momentum kemenangan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu lalu.
“Ini adalah masa terbaik untuk kita bersama-sama berkumpul dan mendengar pelbagai perbahasan dengan mengambil idea-idea terbaik bagi dilaksanakan di peringkat bahagian kelak,” katanya kepada UMNO Online.
Ujar beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Putrajaya, PAU 2024 kali ini sangat bermakna dan tentunya akan disajikan dengan wajah-wajah ceria.
“Kita berkumpul dalam keluarga besar selepas melalui cabaran PRK Nenggiri dan berjaya mengharunginya, ditambah lagi sekarang ini bulan kemerdekaan yang amat berkait dengan UMNO sebagai pejuang untuk tanah air kita merdeka pada tahun 1957.
“Ini semua adalah nilai perjuangan yang perlu kita hayati dan sematkan untuk tekad meneruskan usaha memastika UMNO terus relevan, dulu, kini dan selamanya, insya-Allah,” katanya lagi.
PAU 2024 akan diadakan bermula hari ini hingga 24 Ogos dengan pelbagai pengisian iaitu sesi ‘PENTalk’ oleh Penerangan UMNO Malaysia, kemudian Taklimat Presiden akan berlangsung pada sebelah petang dan menyusul kemudiannya perasmian sayap-sayap UMNO.
Persidangan ini bakal melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara iaitu diadakan seusai mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang telah berlangsung dalam tempoh 21 Jun hingga 29 Julai lepas.
Sebelum itu, mesyuarat peringkat Cawangan UMNO diadakan bermula 22 April hingga 2 Jun. – UMNO Online
You must be logged in to post a comment.