Berita

YAM Tengku Arif Bendahara Sah Bergelar Suami YM Tengku Natasya Puteri

KUANTAN, 25 Oktober 2024 – Waris Ganti Kedua KDPB Sultan Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sah bergelar suami kepada YM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan dengan sekali lafaz tepat pukul 8.59 malam tadi.

Pasangan Pengantin Diraja sama cantik sama padan ini kelihatan begitu menawan dengan persalinan berona putih dalam Istiadat Perkahwinan Diraja yang bermula pada pukul 8.30 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat Akad Nikah ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka anakanda.

Istiadat Akad Nikah dizahirkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, YM Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan bin Tengku Mansor yang menjalankan upacara akad nikah dengan turut disaksikan kira-kira 110 jemputan khas dan istimewa kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.

Usai akad nikah, YAM Pengantin Putera Diraja dibawa keluar untuk menunaikan solat sunat sebelum pengantin perempuan dibawa masuk ke Balai Mahkota untuk bersama-sama YAM Pengantin Putera Diraja bagi upacara penyerahan mas kahwin dan menyarung cincin oleh kedua-dua pengantin.

Istiadat ini kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa sebelum Istiadat Merenjis dimulakan oleh KDPB Sultan Pahang, KDPB Tengku Ampuan Pahang, KDPM Tengku Mahkota Pahang serta kedua ibu bapa pengantin perempuan.

Istiadat Akad Nikah kemudiannya berakhir dengan keberangkatan Paduka Baginda berdua dan Tengku Mahkota Pahang ke majlis santapan diikuti semua jemputan.

Istiadat Perkahwinan Diraja akan diteruskan pada hari esok di mana akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan pengantin Diraja ini manakala Istiadat Persandingan akan diadakan pada Ahad ini.

Pada 28 Oktober pula akan berlangsung Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam.

Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.

Beberapa acara seperti karnival jualan turut diadakan di kedua-dua lokasi iaitu sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung. – KESULTANAN PAHANG