Aktiviti & Komuniti

UMNO Putrajaya Semarkkan Program Solat Hajat Perdana, Doakan Kejayaan Pelajar SPM dan STPM 2024

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karimtelah bersama-sama menyempurnakan Program Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yasin yang dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya, Perbadanan Putrajaya, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Pertubuhan Warisan Melayu.

Majlis yang berlangsung dengan penuh khusyuk ini dihadiri oleh seramai 3,000 orang jemaah, termasuk para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan STPM 2024. Program dimulakan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Daie Farhan bagi memberi semangat kepada para pelajar untuk menghadapi peperiksaan yang akan datang.

Selesai Solat Fardu Maghrib, bacaan Yasin diteruskan dengan dipimpin oleh Imam bertugas, Ustaz Zulkeffly Adimun. Program ini diteruskan dengan Solat Hajat yang dipimpin oleh Ustaz Hamdan Mohamad selepas Solat Isyak. Turut hadir dalam majlis ini adalah En Mohd Sabri Sudin selaku Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPWP Putrajaya.

Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dalam ucapannya berharap agar semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada tahun 2024 akan berjaya dengan cemerlang.

“Semoga dengan doa dan usaha yang berterusan, para pelajar ini akan memperoleh kejayaan yang gemilang, seterusnya mengharumkan nama negara,” kata beliau.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Sdr Khairi Jani, Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Putrajaya, bersama AJKnya yang telah bertungkus-lumus menguruskan program ini, serta Sdr Nasir, Pengerusi Biro Pendidikan MPP/Pewaris, yang berjaya menguruskan program dengan lancar.

Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada komuniti setempat dan diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting ini. – UMNOPutrajaya