Keikhlasan Teras Perjuangan… Pas Oportunis Dalam Kerjasama Politik
Pengalaman kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional mengajar kita bahawa PAS sebuah parti yang bersifat oportunis.
Mereka hanya mahu bekerjasama antara parti demi kepentingan politik mereka tersendiri, bukan berlandaskan prinsip keikhlasan demi kerjasama yang kukuh dalam arus politik perdana.
Dahulu Pas bukan sahaja pernah mencabuli kerjasama dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional tetapi mereka juga mencabuli kerjasama dengan Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat kerana kepentingan motif mereka adalah berdasarkan keuntungan mereka sahaja.
Ini bukti kukuh bahawa Pas bukanlah rakan politik yang baik dan amanah dalam janji mereka.
Mereka juga pernah bekerjasama dengan Dap bagi memastikan UMNO turun dari tampuk pemerintahan negara. Sanggup menggunakan dalil Al Quran dan Hadis semata mata mahu mengaburi ahli mereka demi menghalalkan kerjasama mereka dengan Dap.
Hari ini Pas kembali bersuara dan mahu menjalinkan kembali hubungan mereka bersama UMNO tetapi meletakan syarat dengan membelakangkan Presiden UMNO.
Persoalannya, kenapa Pas secara tiba-tiba mahu berbaik kembali dengan UMNO? Adakah apa yang mereka buru bersama BERSATU sudah mencapai kata putus dan tidak menguntungkan mereka lagi?
Jika Pas ikhlas dan benar-benar berpegang kepada mesej Surat Al Hujurat ayat 10: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.”
Peliknya mengapa Pas perlu meletakkan pelbagai syarat untuk menjalinkan kerjasama ini dengan UMNO?
Pas harus belajar tentang keikhlasan dalam mencatur perjuangannya, barulah kita mampu membangun bersama Islam serta memupuk keharmonian kaum di negara ini.
Pas perlu ingat, asas politik di negara ini bukan bersandarkan semata mata kerana islam sahaja , tetapi mestilah berteraskan kepada konsep syumul dan keadilan kepada semua rakyat Malaysia.
YB USTAZ MUHAMMAD SUFIAN BIN MARADZI
(ADUN Seri Menanti Merangkap Pengerusi Biro Agama, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan)