Tengku Adnan Seru Ahli Manfaat Persidangan UMNO Bahagian, Perkukuh Perjuangan Parti
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Persidangan Bahagian UMNO di seluruh negara yang bermula hari ini hingga 27 Julai 2025 diseru dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli-ahli parti sebagai medan memperkukuh perjuangan yang telah lama diwarisi.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa mesyuarat ini bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya merupakan wadah penting untuk menyemai iltizam yang jitu dalam meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Marilah kita manfaatkan persidangan ini dengan tekad yang jitu untuk memperkukuh perjuangan yang telah sekian lama kita warisi. UMNO adalah satu-satunya ‘payung bangsa’ yang terus istiqamah membela kepentingan rakyat,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut menekankan kepentingan menjadikan persidangan sebagai platform mencambah idea baharu dan mendengar suara akar umbi, agar UMNO terus kekal sebagai parti yang relevan dan dinamik.
“Kita harus tampil sebagai satu pasukan yang berpadu dan bersedia melangkah ke hadapan demi masa depan negara. Persidangan ini adalah cerminan kesungguhan dan keluhuran perjuangan kita,” ujar beliau.
Beliau juga menyeru seluruh ahli untuk hadir dengan semangat kekeluargaan dan kesepakatan, menyumbang pandangan, dan bersama memperteguh asas parti demi menghadapi cabaran masa depan.
Terdahulu persidangan UMNO peringkat Cawangan telah berlangsung pada 7 April hingga 25 Mei lalu dan kini Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dijadualkan pada 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Menyusul seterusnya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online