Berita

Tengku Adnan Imarahkan Ramadan Dengan Maidatul Rahman Putrajaya

PUTRAJAYA, 24 Feb – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor mengimarahkan Ramadan dengan Program Maidatul Rahman, iaitu acara berbuka puasa beramai-ramai yang menjadi tradisi tahunan di Putrajaya.

Beliau berkata, Maidatul Rahman bukan sekadar program berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang selain menyemarakkan silaturrahim dan semangat kekeluargaan.

“Maidatul Rahman ini adalah program berbuka puasa secara berjemaah yang kita adakan setiap tahun sejak lebih 20 tahun lalu. Alhamdulillah, sambutannya sentiasa menggalakkan dan tahun ini kita teruskan lagi supaya lebih ramai dapat bersama-sama merasai kemeriahan berbuka dalam suasana penuh ukhwah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai juadah disediakan secara percuma kepada para pengunjung.

Menurutnya lagi, penganjuran Maidatul Rahman juga membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam komuniti Putrajaya, selari dengan tuntutan Ramadan yang menekankan nilai kesyukuran, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan selain amalan bersedekah dan berkongsi rezeki.

“Ramadan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan amal kebajikan. Selain berbuka puasa, kita juga dapat beramah mesra dan menjalin ikatan yang lebih akrab dalam komuniti yang pelbagai. Kita mahu program ini bukan sahaja mengenyangkan perut, tetapi juga menyuburkan jiwa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa orang ramai khususnya warga Putrajaya dan kawasan sekitarnya untuk hadir bersama keluarga dan sahabat handai memeriahkan lagi Maidatul Rahman.

Tengku Adnan turut menegaskan bahawa program tersebut terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik.

“Kita alu-alukan semua datang. Ini bukan soal politik, ini soal kebersamaan dan semangat Ramadan. Semoga usaha kecil ini membawa keberkatan dan mengukuhkan lagi hubungan sesama kita,” katanya lagi.

Program tersebut akan berlangsung bermula 20 Februari hingga 15 Mac ini, bersamaan 2 Ramadan hingga 25 Ramadan, bertempat di No. 66, Nadi 15, Jalan Perak P15, Putrajaya. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.