Berita

Perhimpunan Agung UMNO 2026 Akan Diadakan Pada 12 – 16 Ogos

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi satu kenyataan, beliau turut memaklumkan bahawa Persidangan UMNO Cawangan akan diadakan pada 1 April sehingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 26 Februari 2026 bersamaan 8 Ramadan 1447H telah mengadakan perbincangan dan memperincikan beberapa perkara.

“Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan akan diadakan pada 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

“Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaksana di sini dengan dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan Agung UMNO merupakan platform tertinggi parti untuk membincangkan dasar, hala tuju dan memperkukuh gerak kerja organisasi di semua peringkat.

Ia menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara merangkumi sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sebagai medan muhasabah, penegasan pendirian serta penyusunan strategi menghadapi landskap politik semasa.

Sebagai parti teras dalam landskap politik negara, United Malays National Organisation (UMNO) secara konsisten memastikan proses demokrasi dalaman berjalan teratur dan tersusun bermula daripada Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian sehinggalah ke Perhimpunan Agung.

Rangka jadual yang diumumkan memberi ruang kepada akar umbi untuk membahaskan usul dan memperhalusi cadangan sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memastikan setiap keputusan yang dicapai mencerminkan suara dan aspirasi ahli di seluruh negara. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.