Berita

Ulang Tahun Ke-80: UMNO Bakal Anjur Kongres Pendidikan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 26 Feb – UMNO bakal menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera sempena Ulang Tahun ke-80, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi satu kenyataan beliau memaklumkan Konvensyen UMNO pula akan diadakan pada 2 Mei 2026 sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah tersebut.

“Sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada tahun ini, UMNO Malaysia akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei 2026 dan Konvensyen UMNO sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah yang akan diadakan pada 2 Mei 2026 bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC),”

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Parlimen ke-16.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen ke-16 selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.6.1 dan Fasal 10.6.2.

“Ini bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini,” katanya lagi.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah berlangsung hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.