Aktiviti & Komuniti

Tak Banyak Alasan: UMNO Putrajaya Terus Prihatin, Ziarah Pesakit Kanser Tahap 4

PUTRAJAYA – UMNO Bahagian Putrajaya terus menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat setempat termasuk menziarahi seorang kanak-kanak yang menghidap kanser Neuroblastoma tahap 4 dalam satu lawatan kebajikan, hari ini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Putrajaya, Muhammad Harith Ahmad Shater berkata, beliau mewakili Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bersama kepimpinan setempat termasuk Ketua UMNO Cawangan Bunga Daisy, Jamal Ruzain dan Naib Ketua Puteri UMNO Putrajaya, Umie Shaheera telah menziarahi adik Hariz yang kini sedang berdepan ujian kesihatan yang serius.

Menurut beliau, lawatan tersebut turut disertai dengan penyampaian sumbangan berupa wang tunai hasil sumbangan daripada Tengku Adnan sendiri serta Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz.

“Kami hadir bukan sekadar menziarahi, tetapi untuk menyampaikan sedikit sumbangan dan sokongan moral kepada keluarga adik Hariz yang sedang melalui ujian berat ini,” katanya.

Tambah beliau, keadaan adik Hariz amat menyentuh hati apabila kanak-kanak itu kini lumpuh separuh badan dan terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit yang kuat secara kerap.

“Keadaan beliau sangat menyedihkan apabila terpaksa mengambil ubat secara berterusan sehingga memberi kesan sampingan kepada kesihatannya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa UMNO Putrajaya sentiasa bersimpati dan komited dalam membantu golongan yang memerlukan.

“UMNO Putrajaya pimpinan Datuk Seri Tengku Adnan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat. Kami berdoa agar segala urusan keluarga ini dipermudahkan dan diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Muhammad Harith memaklumkan bahawa sesiapa yang ingin membantu bagi meringankan beban keluarga ini, bolehlah menyalurkan sumbangan terus ke akaun bank ayahnya, En. Herman Rusli melalui QR di bawah. – UMNOPutrajaya

Screenshot

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.