Tengku Adnan Ucap Salam Aidilfitri, Seru Perkukuh Silaturahim
PUTRAJAYA, — Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khususnya warga Putrajaya, sempena ketibaan Syawal yang mulia.
Beliau berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini wajar disyukuri selepas umat Islam berjaya menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan dengan penuh kesabaran dan keinsafan.
“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih diberi kesempatan untuk menyambut bulan Syawal yang mulia ini. Semoga segala amalan yang kita laksanakan sepanjang Ramadan diterima dan diberkati,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau turut mengambil kesempatan memohon kemaafan kepada seluruh masyarakat sekiranya terdapat sebarang kekhilafan.
“Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua. Andai sepanjang perkenalan ini terdapat salah dan silap, tutur kata yang mengguris hati, mohon dimaafkan,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar Aidilfitri kali ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat serta menyemai semangat perpaduan.
“Semoga Aidilfitri ini membawa seribu makna, mengeratkan silaturahim dan memberi kebahagiaan yang berpanjangan kepada kita semua,” katanya lagi.- UMNOPutrajaya

