Aktiviti & Komuniti

Putrajaya Cemerlang Dalam Pertandingan Antarabangsa Dan Kebangsaan Di PBAKL 2026

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kontinjen Putrajaya terus mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pelbagai pencapaian dalam Pertandingan Jejak Maklumat Peringkat Antarabangsa MIFLA 5.0 (MIFLA Junior) yang berlangsung bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) World Trade Centre Kuala Lumpur.

Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya merangkap Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha berterusan warga pendidik, ibu bapa dan murid di Putrajaya.

Dalam pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 4 Jun 2026 itu, beberapa sekolah dari Putrajaya berjaya mengharumkan nama daerah. Antaranya, Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) muncul naib johan kategori sekolah rendah, manakala Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17(1) meraih tempat ketiga bagi kategori sama.

Pada 4 Jun 2026, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) dinobatkan sebagai naib johan kategori sekolah menengah, manakala Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) menduduki tempat keempat kategori sekolah rendah.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kanan Kluster Dasar, Kualiti dan Penghasilan, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Norhayati binti Ab Wahab.

Dalam perkembangan berasingan, Putrajaya turut mencatat kejayaan dalam Pertandingan Sayembara Baca & Kongsi Peringkat Kebangsaan 2026 yang turut diadakan sempena PBAKL di World Trade Centre Kuala Lumpur.

Dalam pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) sekali lagi menyerlah apabila dinobatkan sebagai johan kategori sekolah menengah peringkat kebangsaan. Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) menduduki tempat keempat, manakala Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3) turut mencatat tempat keempat bagi kategori sekolah rendah.

Menurut Datuk Mohd Hisamudin, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan usaha guru-guru dalam memupuk budaya membaca, kemahiran komunikasi serta perkongsian ilmu dalam kalangan murid.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru pengiring, pentadbir sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan kontinjen Putrajaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.