Berita

‘Tak Banyak Alasan’, Teruskan Khidmat Bersama Rakyat – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap nasib masyarakat perlu terus diperkasa bagi memastikan setiap permasalahan rakyat mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.

Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata usaha membantu masyarakat tidak seharusnya terikat kepada alasan atau batasan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan kesediaan untuk turun padang.

Menurut beliau, prinsip ‘Tak Banyak Alasan’ bukan sekadar slogan, tetapi perlu menjadi pegangan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu kebajikan dan permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Kita tidak boleh banyak alasan. Kalau ada masalah rakyat, kita turun padang, kita dengar dan kita cari jalan penyelesaian. Inilah semangat ‘Tak Banyak Alasan’ yang perlu kita hayati bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Agung PEKIDA Putrajaya, yang diadakan di sini pada Sabtu.

Tengku Adnan berkata pertubuhan masyarakat seperti PEKIDA mempunyai peranan penting sebagai antara wadah yang dekat dengan rakyat, khususnya dalam menyampaikan bantuan, melaksanakan aktiviti kebajikan serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti.

Katanya, kekuatan sesebuah pertubuhan masyarakat bukan hanya diukur melalui jumlah keahlian atau program yang dilaksanakan, tetapi turut bergantung kepada sejauh mana ia mampu memberi manfaat dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat.

“Setiap permasalahan rakyat perlu kita ambil perhatian. Jangan kita lihat sesuatu masalah itu kecil atau besar, kerana bagi mereka yang menghadapinya, ia mungkin merupakan perkara yang sangat besar.

“Jadi, kalau kita boleh membantu, kita bantu. Kalau kita boleh cari jalan penyelesaian, kita cari. Jangan terlalu banyak alasan sehingga akhirnya masalah rakyat terus tertangguh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PEKIDA Putrajaya atas komitmen berterusan dalam menjayakan pelbagai aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.

Menurut beliau, gerak kerja sedemikian amat penting dalam membina masyarakat yang saling mengambil berat, selain memperkukuh semangat perpaduan serta mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih kukuh antara pelbagai pihak.

Beliau berkata kepimpinan setempat, pertubuhan masyarakat dan komuniti perlu bergerak secara bersama bagi memastikan isu rakyat dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani dengan pendekatan yang bersesuaian.

“Jangan kita tunggu masalah menjadi besar baru hendak bertindak. Kita perlu sentiasa berada dekat dengan masyarakat, dengar suara mereka dan fahami apa yang mereka perlukan.

“Inilah kekuatan pertubuhan masyarakat. Kita bukan hanya hadir ketika ada program, tetapi kita mesti hadir ketika rakyat memerlukan,” katanya.

Tengku Adnan turut menyeru agar semangat sukarelawan terus disemarakkan, terutama dalam kalangan generasi muda, supaya budaya membantu dan berkhidmat kepada masyarakat dapat diwarisi serta diteruskan pada masa hadapan.

Katanya, khidmat kepada masyarakat memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan komitmen yang berterusan, bukan sekadar dilakukan apabila mempunyai kelapangan atau ketika mendapat perhatian.

“Kita teruskan kerja, teruskan khidmat dan teruskan membantu rakyat. “Tak banyak alasan, itulah semangat yang kita mahu bawa dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terbela,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.