Aktiviti & Komuniti

Rakyat Putrajaya Hargai Keprihatinan Tengku Adnan, Terus Sediakan Kemudahan Untuk Rakyat

PUTRAJAYA — Rakyat Putrajaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Kampung Tengku Adnan Tengku Mansor atas keprihatinan serta komitmen berterusan beliau dalam membantu masyarakat, khususnya dalam menyediakan kemudahan yang benar-benar diperlukan rakyat.

Dalam satu perkembangan dukacita, dimaklumkan seorang pengundi di Cawangan Lavender, Pn. Normaiza binti Mohd Nafis, telah meninggal dunia pada Sabtu di Institut Kanser Negara (IKN.

Jenazah Allahyarhamah telah dimandikan dan dikafankan di IKN sebelum dibawa selepas solat Maghrib untuk dikebumikan di kampung halamannya di Tanjung Karang.

Dalam urusan pengurusan jenazah tersebut, pihak keluarga turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada Tengku Adnan atas sumbangan kerusi roda serta penyediaan van jenazah yang banyak membantu melancarkan urusan.

Sumbangan tersebut mungkin kelihatan sederhana bagi sesetengah pihak, namun bagi keluarga yang sedang berdepan saat getir kehilangan insan tersayang, bantuan seperti ini amat besar maknanya.

Keprihatinan Tengku Adnan juga dilihat bukan sekadar ketika berlaku kematian, malah merangkumi pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan untuk kegunaan rakyat Putrajaya iaitu daripada kemudahan kebajikan, bantuan kepada golongan yang memerlukan, sehinggalah sokongan dalam urusan masyarakat setempat.

Kemudahan seperti kerusi roda dan van jenazah bukan sekadar aset, tetapi merupakan satu bentuk khidmat kepada masyarakat. Ia memberi kemudahan kepada warga emas, pesakit, golongan kurang berkemampuan serta keluarga yang memerlukan bantuan, terutama ketika berdepan situasi kecemasan atau kehilangan insan tersayang.

Rakyat Putrajaya berharap usaha dan keprihatinan sebegini dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa. Apa yang diberikan bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi bukti bahawa kebajikan rakyat sentiasa diberikan perhatian.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Pn. Normaiza binti Mohd Nafis. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Takziah buat seluruh keluarga Allahyarhamah. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.