Aktiviti & Komuniti

Ziarah Kasih Santuni Ibu Tunggal, Hargai Ketabahan

PUTRAJAYA: Keprihatinan terhadap golongan memerlukan terus menjadi perhatian Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya menerusi program Ziarah Kasih yang diadakan bagi menyantuni seorang ibu tunggal, Kak Zaiton Sh Ibrahim, 74, di Kondominium Saujana Aster, baru-baru ini.

Dalam kunjungan tersebut, Hisamudin berkesempatan mendekati dan bertanya khabar Kak Zaiton, anak jati Pekan, Pahang yang kini menetap bersama anak lelakinya yang bekerja di sebuah butik di Shaftsbury, Putrajaya.

Kak Zaiton merupakan seorang peniaga kecil-kecilan di Sarami Corner, berhampiran Kondominium Saujana Aster dengan menjual pelbagai jenis kuih-muih, burger serta beberapa hidangan lain bagi mencari rezeki.

Meskipun sudah berusia 74 tahun, semangat beliau untuk terus berdikari dan mencari pendapatan sendiri wajar dihargai. Selain berniaga, Kak Zaiton turut mengisi masa lapang dengan aktiviti berkebun.

Bagi Hisamudin, pertemuan menerusi Ziarah Kasih itu bukan sekadar kunjungan bertanya khabar, sebaliknya menjadi ruang untuk mendekati masyarakat, mendengar kisah kehidupan serta menghargai ketabahan mereka yang terus berusaha menghadapi cabaran hidup.

Ziarah Kasih berkenaan turut disertai Encik Razali, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau As-Sakeenah, Kondominium Saujana Aster; Saudara Aziz, Ketua UMNO Cawangan Lily dan Cik Ayie, Ketua UMNO Cawangan Siantan.

Kunjungan itu turut membawa mesej bahawa golongan warga emas dan ibu tunggal tidak seharusnya dilupakan, sebaliknya perlu terus disantuni melalui perhatian, keprihatinan dan sokongan masyarakat setempat. – UMNOPutrajaya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.