Ucapan

Pertingkat Semangat Perjuangan, Jauhi Kemungkaran

Assalamualaikum W.B.T.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432 H kepada seluruh warga Putrajaya. Sebagai sebuah bangsa yang mempunyai jati diri dan ketahanan maka tentunya kita akan mampu berfikir secara kritikal khususnya berkaitan pelbagai perkara dan mengaplikasikan akhlak dan kemuliaan Rasulullah S.A.W dalam diri kita.

Saya telah bersama dengan masyarakat tempatan dalam Program Juara Rakyat di Dewan Sekolah Menengah Presint 8 bagi menyampaikan anugerah kepada 140 anak-anak yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Selain itu, lapan buah sekolah di sekitar Putrajaya juga diberikan anugerah atas kejayaan melahirkan pelajar-pelajar cemerlang.

Ini adalah sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada mereka untuk meneruskan kecemerlangan yang pastinya akan membawa kegemilangan bukan sahaja kepada mereka tetapi bangsa kita khususnya.

Selepas program tersebut, saya turut serta dalam program ceramah di Surau Al-Mizan yang disampaikan oleh Ustaz Gunawan di samping menyampaikan pakaian seragam baju melayu untuk ahli jawatankuasanya kepada 31 buah Surau di sekitar Putrajaya membabitkan 600 helai.

Saya amat berharap agar Maulidur Rasul ini akan menjadi titik permulaan bagi menghasilkan ummah yang progresif dan mempunyai kekuatan untuk menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam dunia global sekarang. Ini kerana masyarakat kita hari ini gagal mengaplikasikan Islam sebagai ‘way of life’ kerana ia adalah Ad-din yang telah kita anuti demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Dalam kesempatan ini, saya ingin menegur kejahilan segelintir umat Islam yang terlalu taksub dengan tarikh 14 Februari sedangkan tidak ada nama Saint Valentine dalam agama Kristian baik dalam mazhab Khatolik, Protesten atau mana-mana sekalipun.

Kewujudan Saint Valentine ini telah dilakukan oleh seorang yang bernama Valentino untuk meraih keuntungan dengan menawarkan kad ucapan selamat dan hadiah antara pasangan kekasih supaya penjualan bunga dapat meningkat.

Kekeliruan ini juga sekaligus membuatkan satu keadaan di mana orang yang tidak faham merasakan bertentangan dengan agama pada hal kita jika benar-benar menghayati Islam maka tentunya sedar bahawa bukan hanya tarikh 14 Februari ini melarang umatnya bermukah, berkhalwat atau berdua-duaan. Inilah yang telah menyebabkan kekeliruan antara umat Islam dan Kristian dengan bangsa-bangsa lain.

Justeru, saya minta penekanan yang lebih diberikan kepada anak-anak kita khususnya dalam proses pembelajaran Al-Quran iaitu dengan memberikan sekali pengertiannya agar kefahaman dan ketelusan dalam pengisiannya.

Kita seharusnya bersyukur kerana kita tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W sedangkan jika tidak, tentunya kita tidak akan berada dalam kelompok masyarakat hari ini.

Janganlah kita terpesong dengan ajaran yang sesat dan menyesatkan apatah lagi sejak kebelakangan ini banyak tarikat-tarikat yang menjalar sepertimana di Indonesia sehinggakan ada yang beranai menyatakan mereka adalah nabi atau sudah lahir nabi yang baru.

Saya juga sudah sarankan kepada semua pengerusi-pengerusi surau supaya berwaspada dalam memilih penceramah-penceramah bagi mengisi slot kuliah kerana kebelakangan ini ada juga penceramah yang tidak bertauliah telah membawa fahaman-fahaman anti kerajaan dalam kuliah mereka.

Saya juga tidak menghalang golongan tabligh untuk berada di Parlimen Putrajaya tetapi sejak akhir-akhir ini puak Pas telah memperalatkan mereka untuk cuba menembusi kawasan atas tujuan untuk meracun minda dan pemikiran rakyat. Taktik yang digunakan ialah dengan berkunjung dari rumah ke rumah ketika si suami bekerja sebagai usaha untuk mempengaruhi golongan suri rumahtangga. Justeru, saya menasihatkan agar rakyat sentiasa berwaspada terhadap fenomena ini.

Seperkara lagi yang menjadi ingatan saya ialah penyamaran orang luar yang masuk ke Putrajaya sebagai wakil SPR sedangkan individu sedemikian tidak wujud kerana pegawai-pegawai pendaftar parti akan melakukan terus di kawasan masing-masing.

Insiden sedemikian telah menimbulkan kegelisahan di kalangan penduduk apabila mereka mengetuk satu pintu ke satu pintu sebagai pegawai SPR. Oleh yang demikian, saya telah berhubung dengan pihak polis agar hal ini tidak berlarutan dan mereka boleh memantau keseluran kawasan Putrajaya demi ketenteraman penduduk.

%d