Berita

Serapkan ‘1Malaysia 1Ummah’ Untuk Kelestarian Bangsa

KUALA LUMPUR, 14 Feb. – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh umat Islam untuk memahami slogan ‘1Malaysia 1 Ummah’ yang menjadi tema sambutan Maulidur Rasul 2011 tahun ini.

Katanya, sebuah negara yang cemerlang akan terhasil daripada ummah yang progresif dan mempunyai kekuatan bagi menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam dunia global hari ini.

“Sebagai sebuah bangsa yang mempunyai jati diri dan ketahanan maka tentunya kita akan mampu berfikir secara kritikal khususnya berkaitan pelbagai perkara dan mengaplikasikan akhlak dan kemuliaan Rasulullah S.A.W dalam diri kita,” katanya.

Ujar beliau lagi, masyarakat Islam di Malaysia mampu hidup rukun dan mengamalkan konsep persefaham bersama bangsa lain meskipun berlainan agama dan budaya.

“Islam tidak boleh jumud dan ekstrim tetapi dalam masa yang sama juga tidak boleh terlalu bebas tanpa sempadan sebaliknya kesederhanaan yang ada mampu memantapkan ummah dan menyerap kesinambungan dalam kesejahteraan bagi terus memastikan negara aman dan maju,” katanya.

Jelasnya lagi, pemilihan tema ’1Malaysia, 1Ummah’ amat relevan kerana ia menyeru Islam untuk bersatu dengan menyayangi agama, bangsa dan negara di samping menanam azam bagi melahirkan satu ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432 Hijrah akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya Selasa ini dengan majlis perasmiannya akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal.

Dijadualkan hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan dari luar negara.