Ucapan

Junjung Amanah, Daulat Bangsa & Tolak Manipulasi Pembangkang

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia

UMNO/BN baru saja selesai menghadapi dua pilihan raya kecil (PRK) dan alhamdulillah, sepenuh kesyukuran dipanjatkan atas kejayaan besar kita di dua Dewan Undangan Negeri iaitu Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka.

Ucapan tahniah kita hulurkan pada semua jentera dan para pengundi di PRK terbabit di samping penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jentera dari Bahagian UMNO Putrajaya yang telah turut sama turun padang bagi membantu gerak kerja bagi memastikan kemenangan ini.

Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari dua PRK ini untuk diaplikasikan dalam diri kita, apatah lagi cubaan pembangkang khususnya Pas yang sanggup melakukan pelbagai cara bagi menawan hati pengundi.

Bukan itu saja, pembangkang juga mahu menakluk hati masyarakat di sekitar Putrajaya ini khususnya dalam usaha mereka untuk menumbangkan kerajaan dan kemudian menawan kawasan ini kerana di sinilah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Dalam hal ini, kita perlu mengambil ingatan terhadap amanat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam titahnya di Dewan Rakyat Isnin lalu yang mana Seri Paduka Baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur fitnah serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.

Saya sedar bahawa para pembangkang cuba menyusup di kawasan sekitar Putrajaya ini apatah lagi setelah melihat pelbagai pembangunan dengan keharmonian masyarakatnya di dalamnya.

Lantaran itu, saya menyeru semua pihak agar terus bertindak bijak dan berfikir dengan akal waras serta tidak terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan cubaan melampau pembangkang dalam meracuni fikiran rakyat.

Ingatlah bahawa kesejahteraan yang kita kecapi hari ini bukan datang bergolek maka pengisian dalam arus kemerdekaan ini juga perlu terus dibaja dengan semangat jitu bagi terus mendaulatkan bangsa.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Ketua Bahagian UMNO Putrajaya