Berita

Majlis Pelancaran Kitar Semula & Gotong-royong Bukti Keprihatinan

PUTRAJAYA – Atas kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar, Persatuan Penduduk Blok D, Fasa 7, Presint 9 bersama dengan UMNO Cawangan Bunga Reflesia telah mengadakan Majlis Pelancaran Kitar Semula dan Gotong-royong pada 5 Mac lalu.

Majlis tersebut diadakan sebagai satu permualaan bagi memastikankebersihan dan proses kitar semula bahan-bahan terbuang dapat diaplikasikan sepenuhnya dengan cara yang betul.

Ini kerana, melalui kitar semula, sampah yang dibuang bukan sahaja dapat dikurangkan tetapi juga secara tidak langsung akan dapat mengawal penyakit daripada merebak. Lebih dari itu, amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

Program tersebut telah mendapat galakan dan kerjasama sepenuhnya dari Bahagian Pengurusan Hartanah Perbadanan Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya Putrajaya, Dino Enterprise, MaySaku Sdn. Bhd., dan Bayu Gwemilang Sdn Bhd selain akhbar Harian Metro dan Sinar Harian.