Berita

Akar Umbi Perlu Selami Perjuangan Parti – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi mengingatkan para pemimpin khususnya ketua-ketua cawangan UMNO empat peringkat untuk terus menyemarakkan perjuangan parti agar masyarakat tidak alpa terhadap perjuangan kebangsaan Melayu demi agama, bangsa dan negara.

“Kita bukan hanya mahukan ahli-ahli yang berkualiti dan memahami matlamat penubuhan UMNO tetapi juga menyelami serta menghayati aspirasi perjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat Cawangan Bunga Anggerik, di sini, hari ini.

Ujarnya, sejak kebelakangan ini ramai ahli UMNO yang gagal memahami perjuangan parti yang secara tidak langsung telah melemahkan parti itu sendiri.

“Setiap ahli UMNO di semua peringkat perlu sentiasa beringat dan berada di landasan betul agar matlamat parti tidak tergelincir sebagaimana yang cuba dilakukan oleh pakatan pembangkang.

“Mereka akan sentiasa memanipulasi apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan lantas, kita yang mempunyai fikiran matang dan waras maka tentunya kita tidak akan terpedaya dengan dakyah pembangkang khususnya Pas.”

Jelasnya lagi, rakyat perlu tahu bahawa PKR dan Pas adalah parti serpihan yang ditubuhkan ekoran rasa tidak puas hati terhadap UMNO setelah apa yang dicita-citakan untuk mendapat kuasa, pangkat dan kedudukan tidak tercapai.

“PKR dan Pas ditubuhkan tanpa ada asas perjuangan dan matlamat yang nyata iaitu ekoran kekecewaan maka mereka meninggalkan UMNO dengan harapan angan-angan mereka untuk mendapat kuasa akan menjadi realiti,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, rakyat juga perlu sentiasa sedar bahawa pakatan pembangkang bukan hanya menggunakan tipu helah dalam sandiwara mereka malahan sanggup memperguna Islam demi kepentingan politik.

“Kita lihat bagaimana pemesongan yang dibuat oleh Pas terhadap Islam sehinggakan agama ini dijadikan bahan sindiran oleh pihak lain, halal dan haram dijadikan bahan politik dan akidah agama kita dijadikan sau propaganda.”

Justeru katanya, apa yang penting katanya adalah memperteguhkan ikatan yang terjalin bukan hanya di kalangan pemimpinnya tetapi juga diperingkat akar umbi dengan menjadikan asas perjuangan dan prinsip parti sebagai pegangan.