Ucapan

Pastikan Matlamat Perjuangan Diteruskan

Assalamualaikuam WBT dan Salam 1Malaysia

Sejak kebelakangan ini pelbagai fenomena berlaku dalam masyarakat yang tentunya sedikit sebanyak menggusarkan hati rakyat. Apa yang pasti, satu saja pinta saya iaitu kita usahlah bercakap tentang sesuatu perkara yang kita sendiri masih kurang pasti kebenarannya.

Nilailah sendiri, bagaimana ada sesetengah perkara yang diperkatakan oleh segelintir individu ini kadangkala tidak masuk akal, cakap-cakap di kedai kopi yang dibawa oleh tukang karut sama ada untuk mempersenda atau memburuk-burukkan orang lain tetapi malangnya ada pihak yang mempercayai gelagat sedemikian.

Apa yang pasti, penyebar spekulasi ini selalu merosakan masyarakat dan tidak bertanggungjawab atas apa yang diperkatakan sehinggakan besuara ibarat tin kosong tetapi gagal melaksanakan sebarang kerja.

Dalam hal ini kita lihatlah bagaimana pakatan pembangkang nampaknya tidak pernah jemu dalam usaha mereka untuk menumbangkang kerajaan Barisan Nasional melalui impian mereka untuk memusnahkan UMNO, tetapi malangnya apa yang dicita-citakan umpama semakin jauh apabila ludah yang diluah terkena wajah sendiri.

Syukur, atas kuasa Allah SWT kerana apa yang didoadakan pembangkang terhadap kerajaan tidak tercapai sebaliknya impian pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan pula semakin nyata tinggal angan-angan.

Kita perlu sedar tanggungjawab dan amanah yang kita dukung bagi memastikan perjuangan dalam UMNO diteruskan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini diwariskan kepada generasi akan datang dan dapat melahirkan masyarakat Malaysia berjiwa teguh dan bersemangat waja.