BeritaUcapan

Hayati Perlembagaan UMNO, Ketepikan Hasad Dengki – Tengku Adnan

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat untuk terus mempertahankan UMNO dengan memahami prinsip perjuangannya berteraskan Perlembagaan parti selain mengetahui latar belakang penubuhan parti.

Katanya, dengan memahami aspirasi sebenar parti melalui penubuhannya yang dilakukan oleh para pejuang terdahulu tentunya masyarakat hari ini akan menghargai dan terus mempertahankan kewujudannya.

“Bayangkan jika semua persatuan orang Melayu tidak bersatu pada tahun 1946 tetapi nenek moyang kita sanggup berjuang demi memikirkan masa depan anak bangsa Melayu tidak tergugat. Walaupun kebelakangan ini banyak pihak yang berkata UMNO sudah tidak relevan tapi percayalah UMNO tetapi ‘Dulu, Kini, Selamanya’ akan tetap pastikan hak orang Melayu di bumi Malaysia ini tidak diganggu gugat,” katanya.

Beliau yang juga ketua bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan perasmian bahagiannya di Dewan Seroja, Presint 15, malam tadi.
Ujarnya, barangkali orang Melayu hari ini lupa bahawa perpaduan dalam bangsa Melayu amat penting dalam memastikan kesinambungan bangsa dan kesejahteraan masyarakat.

“Bangsa Melayu terpecah kepada UMNO-PKR-Pas manakala dalam UMNO juga pecah, dalam Pas dan PKR juga pecah maka dengan perpecahan ini maka tentunya golongan minoriti akan mengambil tempat dan sekiranya mereka berkuasa maka mereka boleh pinda Perlembagaan sebagaimana yang telah berlaku di beberapa Negara lain.

“Mungkin kita boleh lakukan rusuhan atau berdepan dengan tragedy sebagaimana peristiwa 13 Mei 1969 tetapi sekiranya ia berlaku lagi maka kita akan ketinggalan 50 tahun kebelakang dan apa yang dicapai hari ini akan lebur sama sekali,” tegasnya.

Terang beliau lagi, untuk menyokong mana-mana parti rakyat perlulah tahu bagaimana kewujudannya agar tidak terpesong kea rah yang bertentangan.

“Pas ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan kemudiannya mereka peralatkan agama untuk kuasa dan lebih teruk lagi pesongkan akidah umat Islam hinggakan keluar pelbagai fatwa, undi Pas dapat syurga, boleh berkawan dengan syaitan dan macam-macam.

“Yang paling ketara sekali ada Dap yang mulai cari calon Melayu untuk mewakili parti mereka sedangkan sejarah bagaimana Dap ditubuhkan adalah serpihak dari Pap apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia.”

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengingatkan bagaimana keputusan Pilihan Raya Umum 2008 yang menyebabkan Barisan Nasional gagal memperoleh dua pertiga undi hingga mengakibatkan pelbagai masalah berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Banyak masalah yang tidak pernah berlaku pada masa lalu muncul. Lihatlah bagaimana di Selangor dan negeri-negeri pembangkang kerana kalau mereka yang berkuasa, jangan harap mereka akan beri orang UMNO atau BN buat mesyuarat dalam Dewan Kerajaan sebaliknya BN tidak menyekat apa-apa aktiviti mereka kerana faham bahawa mereka juga rakyat Malaysia,” katanya.

Selaras dengan itu beliau menggesa semua perwakilan dan ahli-ahli UMNO untuk membuang sifat hasad dengki, iri hati dan angkuh yang hanya akan merugikan UMNO dan orang Melayu sahaja.

“Pucuk pimpinan minta kita ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ jadi janganlah kita menjadi gunting dalam lipatan, jangan kita menjadi dalang dan menceritakan kepada orang luar apa yang ada dalam parti. Jika tak suka pada kerajaan maka berentilah saja kerja dengan kerajaan,” tegasnya lagi.