Berita

UMNO Berjaya Atasi Permasalahan Rakyat

PUTRAJAYA – Sepanjang tahun 2010/2011UMNO bahagian Putrajaya terbukti Berjaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat khususnya penduduk tempatan.

Ahli Parlimennya yang juga Ketua Bahagian UMNO Putrajaya Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa permasalahan Sekolah Agama Rakyat yang membelenggu penduduk berjaya diselesaikan dengan pembabitan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan bahagian tersebut tahun lalu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sekolah Menengah Agama yang diperlukan oleh para pelajar juga sudah mula beroperasi di kawasan Parlimen terbabit.

Selain itu, dalam memahami kesulitan para penduduk berkaitan tempat letak kereta yang sesak, Tengku Adnan memaklumkan bahawa ia telah diselesaikan dengan mewujudkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat.

Di samping itu, hal-hal berkaitan gerai-gerai makanan tempatan yang mengenakan harga makanan dengan tinggi juga telah diselesaikan dengan mengenakan harga lebih berpatutan.

Lebih menarik, masyarakat Putrajaya dikejutkan dengan makluman bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju untuk mewujudkan satu kawasan penempatan di sekitar Putrajaya untuk dijual kepada kakitangan kerajaan yang bertugas di sini.

Dilaporkan banyak lagi masalah-masalah dan aduan penduduk yang sedang dalam urusan penyelesaian.