Ucapan

Hayati Israk Mikraj Mantapkan Peribadi Ummah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam 1Malaysia

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah peristiwa penting dalam Islam yang secara langsung perlu dihayati oleh seluruh masyarakat dalam memantapkan diri dengan menginsafi perjalanan Rasulullah SAW dalam membentuk kelestarian peribadi Muslim unggul.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW tentunya peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab tahun Hijrah pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah, akan dapat dijadikan satu aspirasi masa hadapan untuk mewujudkan sebuah negara dan bangsa yang terus gemilang berlandaskan perjalanan Baginda mengadap Allah SWT.

Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah. Inilah kekuasaan Allah SWT dan mukjizat yang dikurniakan kepada Baginda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, aplikasikanlah keagungan dan kehebatan Islam bagi menambahkan keyakinan kita terhadap keesaan Allah SWT agar kita terus bersifat tawaduk, tidak takbur dan angkuh dengan apa yang ada.

Allahu Akhbar.