Berita

MPKB Pastikan Kelestarian Masyarakat

PUTRAJAYA – Penubuhan Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB) Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah sebagai satu usaha untuk menangani isu-isu perbandaran dan meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan penduduk setempat, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Ujarnya, fungsi MPKB ini sebenarnya merupakan pelengkap kepada persatuan penduduk yang sedia ada sebagai instrumen pembangunan komuniti yang terancang, sistematik dan efektif melalui rangkaian pertubuhan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Penubuhannya bukan sahaja bergerak sebagai entiti dan mekanisme baru yang boleh melicinkan pentadbiran di peringkat akar umbi tetapi juga adalah usaha ke arah menggerakkan penyertaan dan penglibatan aktif persatuan-persatuan penduduk, NGO, pihak swasta dan agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran MPKB, Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya semalam, 7 Julai 2011.