Berita

Manfaat Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar

PUTRAJAYA – Datuk Hj Ahmad Phesal Hj Talib, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memaklumkan bahawa idea untuk menubuhkan Majlis Perwakilan Kesejahteraan Bandar (MPKB) dicetuskan oleh Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri pada 2002 lalu.

Katanya, program ini khusus untuk menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk Wilayah Persekutuan dengan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berbincang berkaitan program-program mengikut citarasa masyarakat terbabit.

Terangnya lagi, MPKB mempunyai bidang tugas yang hampir sama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu bertanggungjawab menyalurkan maklumat berhubung kebajikan rakyat secara terus kepada kerajaan.

Usul mengenai penubuhan majlis perwakilan ini telah dibentang tahun lepas dan Jemaah Menteri setuju meluluskan cadangan penubuhannya dengan setiap ahlinya akan menikmati keistimewaan yang hampir sama seperti anggota JKKK.

Pada majlis pelancarannya yang berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya pada 7 Julai, surat tauliah telah diserahkan kepada setiap pengerusi zon yang mewakili kawasan parlimen terbabit dengan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Program tersebut adalah program perintis yang akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan akan ditubuhkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seramai 200 orang yang merupakan jawatankuasa MPKB telah dilantik selepas mendapat persetujuan daripada ahli Parlimen Putrajaya.

Melalui penubuhan majlis perwakilan tersebut, diyakini bahawa kerajaan akan memiliki hubungan yang lebih formal dengan rakyat di Wilayah Persekutuan.