Hargai Apa Yang Ada, Bersyukur Atas Rahmat-Nya
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia
Sebagai Ahli Parlimen kawasan Putrajaya, saya sering bertemu dengan masyarakat tempatan tanpa mengira latar belakang pendidikan dan kedudukan malahan saya berbangga kerana kita dapat bersua dalam keadaan yang lebih santai, suasana aman serta hidup dalam negara harmoni.
Namun demikian, hati saya terkesan apabila ada sesetengah individu yang masih terus-terusan meminta ini dan itu sedangkan jika diukur dari apa yang ada, sesungguhnya apa yang kita miliki hari ini amat jauh lebih baik daripada apa yang telah dilalui oleh generasi awal termasuklah nenek-moyang kita dahulu.
Begitu juga sekiranya kita mahu membandingkan negara ini dengan negara-negara luar yang melarat, rakyatnya diselubungi kegelisahan dan masyarakatnya hidup dalam kucar-kacir ekoran pertentangan idealogi sehinggakan kewarasan turut diketepikan hanya kerana pangkat, kuasa dan kedudukan.
Saya memohon pada semua agar kita sama-sama bermuhasabah diri, bersyukur atas apa yang diberikan dan menghargai apa yang dimiliki hari ini lantas pelihara dan perbaikilah apa yang ada demi kesinambungan generasi yang akan mewarisinya.
Marilah bersama-sama saya, berganding bahu, seiring dan sejalan memastikan bukan hanya kawasan Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional tetapi negara kita Malaysia terus berdaulat dengan agama dijunjung, adat didukung.
1Impian, 1Harapan, 1Malaysia!