Ucapan

Terima Kasih Jayakan Maidatul Al-Rahman

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Ramadan

Alhamdulillah, dalam kesibukan tugas seharian, kita telah dapat melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam dengan mengimarahkan Ramadan melalui pengisian-pengisian ilmu dan amal.

Dikesempatan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas penghargaan warga Putrajaya dan penduduk sekitar yang memberikan sambutan menggalakkan dalam program berbuka puasa Maidatul Al-Rahman yang diadakan di Medan Selera Presint 8, sepanjang Ramadan ini.

Sesungguhnya, saya amat terharu dengan sambutan yang diberikan sehinggakan ada ketikanya juadah yang disediakan tidak mencukupi lantaran kunjungan yang bertali-arus namun alhamdulillah, biarpun begitu saya yakin semua yang hadir tetap dapat berbuka puasa bersama-sama biarpun dalam hidangan yang sederhana.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para penduduk di sekitar blok kediaman yang sanggup menerima pemberian juadah berbuka puasa yang dihantar kepada mereka dan berharap agar pemberian ikhlas ini akan dapat memberi syafaat kepada kita untuk terus melaksanakan kewajipan dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Program pemberian ikhlas ini selaras dengan nama Maidatul Al-Rahman yang membawa maksud pemberian yang pemurah adalah bertujuan menolong fakir-fakir miskin dan juga warga tempatan yang tidak berkesempatan menyediakan juadah berbuka lantaran kepadatan jadual harian dan tututan pada kerja.

Apa pun, sebagai hamba-NYA, saya memohon maaf sekiranya ada yang tidak berpuasa hati dan gagal memenuhi kesempurnaan yang diharapkan dalam penyediaan juadah berbuka puasa ini. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah SWT dan yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri. Wassalam