Berita

Jadikan Insiden Gereja Damansara Utama Satu Ikhtibar

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah melontarkan soalan kepada semua masyarakat beragama Islam iaitu kenapa isu sebagaimana di Gereja Methodis  Damansara Utama berlaku?

Terangnya, ia berlaku ekoran kepincangan dan kerenah masyarakat Melayu yang tentunya beragama Islam sendiri termasuklah kegagalan untuk hudup bersatu-padu.

“Kita jangan mahu menunding tangan kepada pihak lain sebaliknya kita bermuhasabah sendiri dengan menilai adakah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan Islam bertindak proaktif atau adakah tindakan hanya dibuat apabila semuanya sudah terlambat sedangkan ia boleh dibendung dari awal,” katanya.

Jelasnya, sewajarnya kita tidak menyuarakan ketidaksenangan kita terhadap pihak yang beragama lain untuk memberikan bantuan kepada golongan yang susah dan tidak berkemampuan dalam bangsa kita sendiri kerana kita juga gagal untuk melaksanakan dan meringankan beban mereka.

“Kita sendiri tidak mahu membantu dan meringankan beban saudara sesama Islam kita sebaliknya kita saling bertelagah dan apabila ada pihak lain yang menghulurkan bantuan maka kita secara langsung menyalahkan kepada orang yang membantu.

“Kita sendiri perlu proaktif melakukan tugas, memberikan bantuan tanpa ada lompong tertentu dan memastikan lawatan-lawatan dilakukan sebagai keprihatinan kita bukan saja kepada orang susah, golongan fakir, anak yatim dan juga masyarakat yang tidak berkemampuan tetapi kita juga perlua adakan kunjungan ke hospital-hospital bagi mendoakan kesehateraan mereka.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Program Penutupan Maidatul Rahman Dan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada orang kurang upaya, ibu tunggal, dan penyakit kronik pada 24 Ogos 2011 di Medan Selera Presint 8.

Tambahnya lagi, keyakinan dan keikhlasan dalam menghulurkan bantuan secara tidak langsung telah menunjukkan kepada seluruh masyarakat bahawa kita sentiasa mendukung dan memartabatkan Islam sebagai landasan dalam perjuangan.

Dalam hal ini beliau juga telah memohon kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) agar  menjadikan peristiwa di Gereja Damansara Utama sebagai satu iktibar yang boleh untuk dimanfaatkan kepada khalayak.

“Saya mohon agar JAWI adakan program-program khusus sama ada di surau-surau atau di masjid-masjid misalnya mengadakan program tiusyen dan 15 minit masa pertama akan diperuntukkan dengan penerangan berkaitan agama Islam dan penekanan-penekanan tertentu.

“Kita salahkan pihal lain atas kelalaian kita sedangkan kita mempunyai sumber kewangan tetapi akibat leka dan tidak agresif maka akan ada yang tercicir sehinggakan mereka dibantu oleh pihak lain yang lebih prihatin.”

Selaras dengan itu, beliau menyeru semua masyarakat beragama Islam untuk sentiasa bersikap prihatin dan mengambil tahu berkaitan apa yang berlaku di sekeliling khususnya kepada sesama saudara bergama Islam.