Ambil Iktibar, Bersyukur Kesejahteraan Negara
Assalamualakum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dalam kemeriahan sambutan Syawal dan kehangatan meraikan hari kemerdekaan ke-54 tahun, kita dikejutkan dengan kematian sahabat kita yang terkorban ketika menjalankan tugas bersama Misi Kemanusiaan di Somalia, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu.
Dengan kesyahduan menyambut khabar kematian tersebut, keinsafan dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana atas rahmat-Nya kita hidup dan kepada-Nya jua kita akan kembali.
Namun demikian, saya amat kecewa dengan sikap segelintir pihak yang menjadikan misi tersebut sebagai satu bahan politik lantas cuba untuk menangguk di air keruh sedangkan keikhlasan dan kerelaan melakukan pengorbanan serta memberikan bantuan tidak terbatas dalam negara atau warna kulit yang sama apatah lagi perbezaan fahaman politik.
Sewajarnya tragedi ini menjadi iktibar dan tauladan kepada semua pihak untuk menilai dan melihat sendiri nikmat yang dirasai sepanjang menjadi warganegara Malaysia, bukan hanya keamanan dan kesejahteraan dirasai tetapi makanan, pakaian dan pelbagai barang keperluan boleh diperoleh dengan mudah, pergerakan tidak pernah terbatas malahan tugasan harian dilaksana tanpa rasa gelisah.
Dikesempatan ini, saya menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira idealogi politik, bangsa dan anutan agama untuk terus memelihara keamanan dan kedaulatan negara ini agar kita dan generasi seterusnya tidak merasai kemelaratan yang berlaku di bumi bergolak bukan hanya seperti di Somalia tetapi juga di Libya, Mesir, Semenanjung Gaza dan lain-lain lagi.
Janganlah kita terpesong dan terjerumus dengan perangkap pembangkang yang mahu menghancurkan keamanan kerana natijah insan yang tidak tahu bersyukur ibarat menggigit tangan yang memberi makan, seperti kacang lupakan kulit sebagaimana mereka yang tidak tahu berterima kasih pada kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat. Allahu Akhbar!