Ucapan

Hargai PR1MA Untuk Keselesaan Rakyat

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya ingin mengucapkan terima kasaih kepada penduduk-penduduk Putrajaya yang telah melapangkan masa untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Sabtu lalu di Pusat Kejiranan Presint 11 walaupun saya sedar bahawa itu adalah kepentingan mereka tapi saya amat kagum melihat khalayak memenuhi dewan sehinggakan melimpah ke kawasan luar dewan. Dianggarkan lebih dari 4,000 orang telah hadir.

Dalam majlis Cabutan Undi Rumah Terbuka PR1MA ini, kita semua dapat melihat bagaimana cara akauntan bertauliah mengendalikan pengundian yang mana ia adalah bagi memastikan pengagihan dilakukan dengan adil dan telus. Namun demikian, saya juga ada mendengar rungutan-rungutan yang tidak berpuas hati kerana ada di kalangan mereka nombornya di bawah sehinggakan saya mencabut 20 lagi undi dan apabila saya berbuat demikian, saya mendapat kecederaan di tangan saya kerana terkena kotak plastik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Melihat kepada apa yang berlaku, saya akan sarankan kepada pihak bertanggungjawab, barangkali proses pengundian akan datang dibuat dengan cara berbeza dimana nombor-nombor ini akan dipusingkan sebelum dicabut.

Untuk makluman saudara-saudari sekalian, Cabutan Undi Rumah Terbuka PR1MA ini adalah permulaan dan Putrajaya menjadi contoh kepada kawasan-kawasan lain yang kemudian akan dibangunkan, maka tentunya banyak lompang-lompang yang mesti dibaiki.

Apa yang penting dalam sistem yang dilaksanakan oleh PR1MA ini, ketelusan dilaksanakan kerana sebelum ini banyak rungutan yang telah berlaku waktu agihan rumah pangsa dan rumah PPRT di kawasan-kawasan yang lain jadi cara yang dilaksanakan oleh PR1MA iaitu dengan pengundian patut dihargai dan bersyukur kepada Allah SWT.

Kepada mana-mana pihak yang tidak terpilih janganlah gusar kerana di Putrajaya sendiri, saya sebagai wakil rakyat akan berbincang dengan pihak PR1MA untuk mendapatkan projek-projek lain.

Saya juga sedar, dan amat berharap agar harga jualan ini akan kekal kerana yang mendapat rumah tersebut mendapat keuntungan RM60,000 untuk rumah 1000 kaki persegi dan RM50,000 keuntungan untuk yang 800 kaki persegi.

Biarpun jumlah pengundian untuk PR1MA adalah 560 sahaja berbanding seramai 7,000 pemohon tetapi peluang-peluang PR1MA untuk fasa seterusnya akan ada.

Dalam hal yang lain, saya dan masyarakat di Putrajaya turut merakamkan setinggi-tinggi panghargaan dan terima kasih kepada kerajaan BN, bukan sahaja PR1MA menjadi realiti tetapi pemberian bonus kepada kakitangan selain bantuan persekolahan dan isi rumah amat menggembirakan.