Berita

Sekolah Seri Puteri Cyberjaya Bukti Kecemerlangan Pelajar

PUTRAJAYA – Kecemerlangan golongan wanita bermula dari peringkat sekolah dengan penglibatan langsung dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impian masa hadapan.

Selaras dengan itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyeru golongan pendidik dan golongan muda untuk terus membakar semangat serta keazaman seluruh warga Sekolah Seri Puteri untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan demi kejayaan dalam segala bidang yang diceburi walau di mana mereka berada.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Malam Selingkar Kasih Ke-26, Sekolah Seri Puteri yang merupakan sekolah berasrama penuh, sekolah kluster & sekolah berprestasi tinggi di Cyberjaya, Selangor.

Majlis yang diadakan pada 15 Oktober tersebut berlangsung dengan meriah di Dewan Seri Endon, Puspanita, Putrajaya dengan dipenuhi acara warna-warni dan persembahan dari para pelajar.

Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri YBhg Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengetua Cemerlang sekolah tersebut Puan Hajah Rashidah Md Arif dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran Malaysia Tuan Haji Rosland Hussein.