Berita

Raikan Deepavali Dengan Semangat Perpaduan

PUTRAJAYA – Anggota Parlimen tempatan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa penduduk pelbagai kaum agar sama-sama maraikan sambutan perayaan termasuklah deepavali yang akan diraikan minggu hadapan dalam suasana muafakat dan bersatu-padu.

Katanya, MIC yang menjadi tunjang masyarakat India di kawasan Putrajaya adalah sebuah struktur politik yang kukuh dan perlu terus dipertahankan demi kemajuan bersama rakyat keseluruhannya.

“Umumnya majlis sambutan deepavali dilakukan oleh MIC tetapi buat julng kalinya ia diubah dengan pusat khidmat masyarakat setempat menjadi tuan rumah dan sambutan diadakan lebih awal sebagaimana permintaan dari penduduk tempatan,” katanya yang menyatakan bahawa ia adalah antara bukti keprihatinan kerajaan terhadap kehendak rakyat.

Majlis Makan Malam Deepavali yang dihadiri seramai 300 masyarakat India terdiri dari para pengundi tempatan ini berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Kejiranan Presint Sembilan, pada 20 Oktober 2011.

Kesempatan tersebut turut digunakan oleh Tengku Adnan untuk menerangkan tentang pusat ibadat kaum india yang melibatkan kuil akan dibina di Putrajaya tetapi tergendala berikutan masalah-masalah dalaman antara persatuan-persatuan masyarakat India setempat sendiri.

“Janganlah kerana perbezaan pendapat yang melibatkan kelompk kecil maka BN akan dipersalahkan kerana kononnya gagal menyediakan kemudahan kepada anggota masyarakat termasuklah kaum India,” katanya.

Tegasnya, kelewatan pembinaan kuil terbabit tidak ada kena-mengena dengan kerajaan kerana kelulusan telah diberikan sebaliknya anggota terbabit perlu mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pihak berkuasa tempatan dan juga Perbadanan Putrajaya.

“Kita jadikanlah perayaan yang bakal disambut akan datang sebagai penyelesaian segala kekusutan yang berlaku selain menegtepikan perbezaan pendapat antara semua pihak,” katanya lagi.

Turut hadir berucap dalam majlis tersebut ialah Ketua Bahagian MIC Putrajaya, Ganapathy yang meyatakan ikrar untuk terus taat setia kepada Barisan Nasional yang menjadi tunjang kerajaan.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah kepada para peserta melibatkan hadiah-hadiah barangan elektrik seperti tv LCD, periuk nasi elektrik, seterika dan lain-lain lagi.

Selain itu Tengku Adnan turut menyampaikan sumbangan wang sempena Deepavali kepada para pengundi India di kawasan terbabit.