Mantapkan Jentera Untuk Gerak Kerja Lancar Hadapi Pilihan Raya Umum ke-13
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua ahli-ahli parti untuk memantapkan jentera dan bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
Katanya, ahli jawatankuasa UMNO Bahagian akan mula mengaktifkan pusat daerah mengundi untuk kawasan Putrajaya bagi mengelakkan sebarang kesulitan apabila Parlimen dibubarkan kelak.
“Bagi kawasan Parlimen Putrajaya hanya ada empat pusat daerah mengundi yang akan melibatkan seramai 9,327 orang jumlah pengundi sehingga akhir September lalu,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas beliau, anggota jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan perlu menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan pengerusi persatuan penduduk, angota rukun tetangga dan juga Pengerusi Komuniti Masyarakat.
Beliau memberitahu bahawa UMNO Bahagian Putrajaya telah mengadakan mesyuarat melibatkan anggota jawatankuasa bahagian Sabtu lalu bertempat di pejabat UMNO Bahagian Putrajaya, Presint 15.
“Dalam mesyuarat ini, kita telah berbincang mengenai program Jamuan Rakyat sempena Hari Raya Aidiladha dengan41 ekor lembu akan dikorbankan pada hari raya tersebut melibatkan dua ekor yang akan digunakan untuk program jamuan terbabit,” katanya yang menjelaskan bahaw program tersebut akan dilaksanakan di kawasan lapang, Presint 8 dan cara pengagihan dibuat seperti tahun-tahun yang sebelumnya.
Ujarnya lagi, program malam Deepavali juga akan dilaksanakan bagi meraikan masyarakat India di sekitar Putrajaya.
“Kita mahukan adanya ‘touchpoint’ dalam setiap program-program yang dijalankan dengan akhirnya program tersebut mencapai matlamat pelaksanaannya iaitu menyelesaikan masalah rakyat, memberi faedah dan tidak bersifat ‘syok sendiri’,” katanya.
Tambahnya, dalam setiap program yang dibuat, ia mesti mencapai agenda dengan pelaksanaan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk ‘touchpoint’ ini kita juga akan mengadakan majlis khatan beramai-ramai untuk anak-anak anggota UMNO Putrajaya yang akan dibiayai oleh Pusat Khidmat Masyarakat UMNO bahagian dengan pelaksanaannya dibuat dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengerusi Biro Agama, Tuan Haji Alias.”
Maklumnya lagi, dalam mesyuarat bahagian yang berlangsung sebelum ini beliau turut menegur anggota jawatankuasa dan ketua-ketua cawangan yang tidak memberi fokus kepada pelaksanaan program atau matlamat dalam parti.
“Setiap anggota bahagian yang memegang jawatan mesti bertanggungjawab atas tugas dan amanah yang diberi bukan hanya untuk pelaksanaan program tetapi juga dalam mana-mana mesyuarat yang dijalankan. Sekiranya Ketua cawangan tidak dapat hadir maka wakilkanlah pada timbalannya dan begitu juga dengan ketua pergerakan wanita, pemuda atau puteri yang mesti ada naib ketua masing-masing untuk mewakili ketuanya.”
Beliau turut menegur anggota Exco yang bertanggungjawab agar melibatkan diri dalam setiap program kerana ada antara mereka yang bukan sahaja program cawangan tidak aktif tetapi untuk bahagian juga langsung tidak pernah mengambil peranan.
Kesempatan bermesyuarat dengan anggota bahagian tersebut turut dimanfaatkan oleh Tengku Adnan membuat teguran berkaitan aduan yang diterima dalam Liga Bola Sepak Antara Cawangan yang sedang berlangsung.
“Antara aduan yang diterima ada pasukan yang tidak ikut peraturan dengan melanggar syarat-syarat ditetapkan sedangkan semua pihak maklum bahawa mereka memegang amanah dan janganlah kerana hadiah yang ditetapkan maka sanggup melakukan kesalahan dan menyalahi etika pertandingan.
“Jawatankuasa bahagian telah memutuskan jika sekiranya ada pasukan yang melanggar peraturan maka penyertaan mereka tidak akan diteruskan dan disenaraihitamkan daripada menyertai pertandingan terbabit malahan kemungkinan untuk penilaian semula hadiah yang dijanjikan juga akan dilakukan,” katanya.