Berita

1Hari Kitar Semula Didik Masyarakat Hargai Alam Sekitar

PUTRAJAYA – Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman telah merasmikan Majlis 1Hari Kitar Semula Putrajaya yang diadakan di Pusat Kitar Semula Komuniti Presint 9, Putrajaya pada 15 Januari 2012.

Dalam ucapannya beliau meminta rakyat untuk bersama-sama menjayakan visi Kerajaan untuk menjadikan kitar semula sebagai amalan budaya bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang perlu dilupuskan kerana hasilnya akan dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelulusan sisa pepejal dan menjimatkan kewangan negara.

“Pelaksanaan program kitar semula secara terancang perlu melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk NGO, sektor swasta serta para penduduk bagi memastikan visi Kerajaan untuk mencapai sasaran 22% untuk kitar semula di negara ini direalisasikan menjelang tahun 2020,” katanya.

Dalam majlis ini juga, beliau turut menyampaikan anugerah kitar semula kepada anggota yang telah berjaya mencapai sasaran dan menyahut seruan untuk melaksanakan kitar semula.