Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya Dibina Tahun Depan: Muhyiddin
PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran bersetuju melaksanakan cadangan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya di Presint 11 di sini pada tahun depan bagi kemudahan pelajar sekolah itu yang kini menumpang di SMK Putrajaya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata projek sekolah yang akan menelan kos hampir RM55 juta itu akan dibina di tapak seluas 5.6 hektar milik Kementerian Pelajaran.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sekolah baru itu akan mempunyai 25 bilik darjah yang mampu menampung antara 200 hingga 300 pelajar dan juga kemudahan asrama untuk seramai 750 pelajar.
“Ia bagi memastikan pelajar Islam kita dapat menikmati kemudahan pembelajaran lebih baik kerana sekarang mereka terpaksa menumpang di sekolah lain (SMK Putrajaya),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas Umno Putrajaya di sini, 27 Januari 2012.
Sejak SMKA Putrajaya dibuka pada 4 Jan 2011, pelajar sekolah itu menumpang di SMKA Putrajaya dengan bilangan pelajar kini seramai 217 orang iaitu 132 pelajar Tingkatan 1 dan 85 pelajar Tingkatan 2.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran juga bersetuju untuk menaik taraf Pejabat Pelajaran Putrajaya kepada Jabatan Pelajaran Putrajaya.
“Seorang pegawai berpangkat pengarah akan ditempatkan di pejabat berkenaan dan perkara itu akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.