Berita

1,600 Warga Putrajaya Terima BR1M

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,600 orang bertempat di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini.

Dalam kesempatan tersebut beliau telah menekankan bahawa Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang mendukung kerajaan sentiasa membuat keputusan secara konsensus tanpa membelakangkan mana-mana pihak di dalamnya.

“Kita tidak ada tindas menindas oleh mana-mana parti sama ada yang parti kecil atau parti besar,” katanya.

Tegasnya, daripada maklumbalas yang diterima, semua masyarakat sedar bahawa BN telah banyak melakukan sumbangan dalam pembangunan dan kesejakteraan di negara kita.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha agung Umno berkata, sokongan masyarakat
terhadap BN juga meningkat selepas menyedari bahawa hanya BN mampu menjamin kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.

“Dalam BN kita dalam kaedah di mana apa yang kita bersetuju ialah konsensus. Ada juga parti-parti yang memikirkan kawasan-kawasan tertentu barangkali daripada MIC mereka nak pindah, ini ada disebut. Begitu juga dengan MCA dan Gerakan untuk kebaikan parti sendiri dan untuk menjadi wakil kepada rakyat. Apa pun rakyat yang penting sebab mereka yang pilih,” katanya.

Turut hadir ialah Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman.