Berita

Perkukuh UMNO Dalam Persidangan Cawangan, Jangan Musuhi Rakan Sendiri

PUTRAJAYA – Persidangan Cawangan UMNO bermula dengan perasmiannya yang disempurnakan oleh Ketua Bahagian merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor dalam majlis Perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Putrajaya 2012, Sabtu lalu.

Dalam ucapannya beliau telah mengingatkan semua ahli-ahli parti agar tidak menjadikan UMNO sebagai musuh kerana musuh yang sebenar perlu ditentang bersama-sama.

“Kita perlu bekerja untuk parti dan bukannya melaksanakan program sekadar syok sendiri ibarat melepas batuk ditangga sebaliknya kita mesti melibatkan semua individu dalam masyarakat kita tanpa melihat sama ada mereka ini kroni kita atau ahli parti sendiri,” katanya.

Tegas beliau lagi, setiap acara yang dilaksanakan juga mestilah dibuat atas fokus untuk kepentingan masyarakat setempat dalam memperkukuhkan parti sebagai peneraju kepimpinan bagi kesinambungan negara pada masa hadapan.

“Kita perlu berkhidmat dengan hati yang bersih dan ikhlas kerana hanya perjuangan yang suci akan mendapat keredhaan Allah swt, sebaliknya jika dalam hati kita ada rasa dengki dan iri hati maka keburukan yang akan menunggu,” katanya lagi.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Seroja, Presint15, Putrajaya.

Persidangan tahunan cawangan bermula pada 1 April hingga 15 Jun ini sebagaimana surat pekeliling yang telah diedarkan oleh Ibu Pejabat UMNO:

SURAT PEKELILING IBU PEJABAT BIL : 01/12

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

2. Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang pada 23 Februari 2012 telah memutuskan bahawa tarikh-tarikh Persidangan Tahunan Cawangan dan Perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Sayap-sayap bagi tahun 2012 adalah seperti berikut :-

2.1. PERSIDANGAN TAHUNAN CAWANGAN 2012

2.1.1. Cawangan-cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunannya bila-bila masa mulai hari Ahad, 1 April 2012 sehingga hari Jumaat, 15 Jun 2012.
2.1.2. Cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2011 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunannya untuk tahun 2012.
2.1.3. Tarikh bagi semua Persidangan Tahunan Cawangan hendaklah ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan berkenaan.
2.1.4. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.3 ” Persidangan Cawangan hendaklah diadakan pada satu tempat yang berkecuali dalam Cawangan berkenaan, melainkan jika tidak ada kemudahan di situ maka Persidangan bolehlah diadakan di mana-mana tempat yang munasabah termasuk di luar Cawangan setelah berunding dengan Bahagian “.
2.1.5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Persidangan Tahunan Cawangan.
2.1.6. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh-tarikh persidangan Tahunan Cawangan di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.
2.1.7. Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada :-

1. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
2. Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan
2.1.8. Sesuai dengan Fasal 17.5 Perlembagaan UMNO, di antara tugas-tugas Persidangan Cawangan ialah:-

FASAL 17.5.6
Memilih Wakil-wakil ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian. Wakil-wakil yang tidak dipilih di dalam Persidangan Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.

2.2. PERSIDANGAN TAHUNAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI CAWANGAN 2012
________________________________________________________________
2.2.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunan masing-masing bila-bila masa mulai dari hari Ahad, 1 April 2012 sehingga hari Jumaat, 15 Jun 2012.
2.2.2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing.
2.2.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan persidangan masing-masing.
2.2.4. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah terdiri daripada :-
1. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan
2. Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Cawangan
3. Tidak lebih dari dua orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Cawangan.
2.2.5. Sesuai dengan Fasal 19.4, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing adalah :-

FASAL 19.4.3

Memilih dua (2) orang wakil ke Mesyuarat Perwakilan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian sebagaimana Fasal 14.2.4 Peraturan ini.